Jumaat, 15 Oktober 2010

Berubah Menjadi Himar





Dalam terik panas mentari yang memancar menyinari tanah Baitul Haram, seorang ulama zuhud yang bernama Muhammad Abdullah al-Mubarak keluar dari rumahnya untuk menunaikan ibadah haji. Di sana dia leka melihat seorang pemuda yang asyik membaca selawat dalam keadaan ihram. Malah di Padang Arafah dan di Mina pemuda tersebut hanya membasahkan lidahnya dengan selawat ke atas Nabi.

“Hai saudara,” tegur Abdullah kepada pemuda tersebut. “Setiap tempat ada bacaannya tersendiri. Kenapa saudara tidak membanyakkan doa dan solat sedangkan itu yang lebih dituntut? Saya lihat saudara asyik membaca selawat saja.”

“Saya ada alasan tersendiri,” jawab pemuda itu. “Saya meninggalkan Khurasan, tanahair saya untuk menunaikan haji bersama ayah saya. Apabila kami sampai di Kufah, tiba-tiba ayah saya sakit kuat. Dia telah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya sendiri. Dengan kain sarung yang ada, saya tutup mukanya. Malangnya, apabila saya membuka semula kain tersebut, rupa ayah saya telah bertukar menjadi himar. Saya malu. Bagaimana saya mahu memberitahu orang ramai tentang kematian ayah saya sedangkan wajahnya begitu hodoh sekali?


“Saya terduduk di sisi mayat ayah saya dalam keadaan kebingungan. Akhirnya saya tertidur dan bermimpi. Dalam mimpi itu saya melihat seorang pemuda yang tampan dan baik akhlaknya. Pemuda itu memakai tutup muka. Dia lantas membuka penutup mukanya apabila melihat saya dan berkata, “Mengapa kamu susah hati dengan apa yang telah berlaku?”

“Maka saya menjawab, “Bagaimana saya tidak susah hati sedangkan dialah orang yang paling saya sayangi?”

“Pemuda itu pun mendekati ayah saya dan mengusap wajahnya sehingga ayah saya berubah wajahnya menjadi seperti sediakala. Saya segera mendekati ayah dan melihat ada cahaya dari wajahnya seperti bulan yang baru terbit pada malam bulan purnama.

“Engkau siapa?” tanya saya kepada pemuda yang baik hati itu.

“Saya yang terpilih (Muhammad).”

“Saya lantas memegang jarinya dan berkata, “Wahai tuan, beritahulah saya, mengapa peristiwa ini boleh berlaku?”

Rahsia selawat 100 kali

“Sebenarnya ayahmu seorang pemakan harta riba. Allah telah menetapkan agar orang yang memakan harta riba akan ditukar wajahnya menjadi himar di dunia dan di akhirat. Allah telah menjatuhkan hukuman itu di dunia dan tidak di akhirat.

“Semasa hayatnya juga ayahmu seorang yang istiqamah mengamalkan selawat sebanyak seratus kali sebelum tidur. Maka ketika semua amalan umatku ditontonkan, malaikat telah memberi tahu keadaan ayahmu kepadaku. Aku telah memohon kepada Allah agar Dia mengizinkan aku memberi syafaat kepada ayahmu. Dan inilah aku datang untuk memulihkan semula keadaan ayahmu.”


Wassalam...


*******************

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah dia mengatakan kebaikan atau diam. (HR Bukhari)

Ahad, 3 Oktober 2010

5 Kalimah Kebahagiaan





1. Selalu mengucapkan kalimah tayyibah iaitu 'La Ilaha Illallah Muhammadar Rasulullah'. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atasnya, maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli Syurga, tetap kekal mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan." (QS Al-Ahqaf:13~14)

Sabda Rasulullah SAW: “Banyakkanlah berzikir kepada Allah pada setiap perkara kerana tidak ada amal yang paling dicintai oleh Allah dan tidak ada yang menyelamatkan seorang hamba daripada keburukan di dunia dan akhirat melainkan berzikir kepada Allah.”

2. Apabila ditimpa sesuatu musibah atau melihat kematian, ucapkanlah 'Innalillahi wa inna ilaihi rojiun'. Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah memperbanyakkan perkataan melainkan zikir kepada Allah. Sesungguhnya banyak ucapan yang bukan zikir kepada Allah menjadikan hati keras. Orang yang paling jauh daripada Allah ialah orang yang mempunyai hati yang keras.” (HR At-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah SAW: “Apakah tiada aku tunjukkan kepadamu kunci untuk membuka pintu daripada pintu-pintu syurga?” Kata sahabat: “Apakah kunci untuk pintu syurga itu?” Jawab Rasulullah SAW: “Dengan sentiasa menyebut “Lahaula-wala quwwata-illa billahil ‘aliyi-azim.” Zikir ini bermaksud 'Tiada daya, tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah'. Apabila zikir ini selalu disebut-sebut, insyaAllah seseorang itu akan diberi ketenangan dalam menerima ujian dan keredhaan daripada Allah SWT.

3. Apabila dikurniakan nikmat, maka ucapkanlah 'Alhamdulillah' sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Ucapan yang paling disukai oleh Allah ada empat iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Wa la ilahaillallah, Allahu Akbar.”

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya dunia dan seluruh harta kekayaan yang berada di atasnya diserahkan ke tangan seorang daripada umatku, kemudian orang itu berkata 'Alhamdulillah', maka ucapan 'Alhamdulillah' itu lebih berharga daripada seluruh harta itu. Ini kerana harta dunia akan habis, tetapi ucapan 'Alhamdulillah' itu akan berkekalan selama-lamanya hingga akhirat.”

4. Ucapkanlah 'Bismillahir-rohmanir-rahim' ketika hendak memulakan sesuatu pekerjaan. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa setiap pekerjaan baik yang tidak dimulakan dengan menyebut nama Allah, maka pekerjaan itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: "Bahawa sesuatu perbuatan yang baik tanpa dimulai dengan Bismillah maka ia akan terputus dari rahmat Allah SWT."

5. Ucaplah 'Astaghfirullahal-azim' apabila berbuat dosa. Rasulullah SAW bersabda: “Perlukah aku beritahu kepadamu tentang suatu penyakit dan ubatnya kepada kamu? Sesungguhnya penyakit manusia itu adalah dosa, dan ubatnya adalah istighfar.” Sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan dosa. Sebaik-baiknya segeralah beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membiasakan dirinya membaca istighfar, Allah akan melepaskannya daripada segala macam kesempitan dan terlepas daripada setiap kesusahan dan Allah memberi rezeki kepadanya dengan tidak disangka-sangka.” (HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Mudah-mudahan panduan ini dapat kita diamalkan untuk mendapatkan kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Wallahua'lam.


***************

Dari Aishah r.ha meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang sangat dibenci oleh Allah ialah orang yang suka bertengkar. (HR Muslim)