Rabu, 10 November 2010

Renungan Untuk Kaum Hawa




Ibnu Umar r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Wahai kaum wanita! Kamu bayarlah sedekah dan banyak bertaubat, kerana aku melihat kebanyakan penghuni neraka adalah wanita." Salah seorang daripada pendengar berkata: "Wahai Rasulullah! Apakah kesalahan kami yang kebanyakan daripada kami akan memasuki neraka?" Rasulullah SAW menjawab: "Kamu paling kerap mempunyai tabiat melaknat (semasa perbualan) dan kamu lebih tidak bersyukur kepada suami kamu. Aku tidak melihat seseorang yang kekurangan dalam ketakwaan dan hikmah seperti kamu tetapi menguasai seorang yang berhikmah." (HR Bukhari & Muslim)


Ibnu Mas’ud r.a. telah memberitakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Seseorang wanita patut ditutupi kerana apabila dia keluar, syaitan akan memandangnya." (HR Tirmidzi)

Begitu juga, maka perlulah wanita menjaga suara supaya tidak didengari oleh orang luar. Adalah juga penting, lelaki menghindari dari melafazkan puisi di khalayak wanita lain oleh kerana wanita bersifat lembut hatinya dan mudah cenderung kepada pengaruh buruk.

Hasan Al-Basri r.a. memberitahu bahawa dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah melaknati orang yang memandang kepada seseorang wanita asing dan juga seseorang yang dipandang itu."

Abu Musa r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Mata yang memandang kepada seseorang lelaki atau wanita asing dengan niat buruk adalah penzinaan dan seseorang wanita yang mewangikan dirinya dan kemudiannya lalu di hadapan khalayak lelaki adalah tiada bezanya." (HR Tirmidzi & Abu Dawud)

Ibnu Mulaika r.a. memberitahu bahawa apabila seseorang menyatakan kepada Aisyah r.a. bahawa seorang wanita sedang memakai sandal (kasut lelaki), maka dia menjawab bahawa Rasulullah SAW melaknati wanita yang bersifat kelakian. (HR Abu Dawud)

"Adalah sunnah bagi wanita mengucap salam dan selamat antara satu sama lain dan berjabat tangan. Ini patut digalakkan." (HR Tabrani & Baihaqi) *Nota: antara sesama wanita sahaja.

Ibnu Abi Dunya dan Baihaqi telah memberitakan dari Ash Shabi bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Laknatlah kepada penyanyi-penyanyi perempuan dan kepada sesiapa yang mereka nyanyikan."

Dalam hadis: "Di antara wanita-wanita di dunia ini ada yang kecantikannya melebihi dari bidadari kerana amal perbuatannya ketika di dunia." (Tanbihul Ghafilin, Abu Laits As-Samarqandi)

Abu Hurairah r.a. berkata: "Demi Allah yang menurunkan kitab pada Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya ahli syurga tiap saat bertambah elok cantiknya, sebagaimana dahulu di dunia bertambah tua." (Tanbihul Ghafilin, Abu Laits As-Samarqandi)

Anas r.a. berkata bahawa suatu ketika sekumpulan wanita datang menghadap Rasulullah SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, kaum lelaki telah memperoleh banyak pahala dengan ikut serta dalam jihad. Tunjukkan kepada kami suatu amalan yang dapat membantu kami memperoleh pahala sebagaimana yang telah dicapai oleh para mujahid." Rasulullah SAW bersabda: "Seorang di antara kamu yang tinggal di rumahnya (menjaga malu dan kehormatannya), akan memperoleh pahala jihad.' (Musnad Bazzar)

"Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa di bulan (Ramadhan), menjaga kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka akan dikatakan kepadanya: "Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu syurga mana saja yang kamu kehendaki." (HR Ahmad)

Dari Abu Hurairah r.a. dalam hadis yang panjang berkata: Bersabda Rasulullah: "Ada dua kelompok penghuni neraka yang belum pernah aku lihat; suatu kaum yang memiliki pecut seperti ekor sapi dan dipergunakan untuk memukul orang lain, dan wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang, berjalan sambil berlenggak-lenggok, kepala mereka bagaikan punuk unta, mereka tidak akan masuk syurga dan tidak pula dapat mencium wanginya, padahal wangi syurga dapat tercium dari jarak sekian dan sekian." (HR Muslim)

Sayyidina Ali k.w.j. berkata: "Adakah kamu tidak merasa malu? Adakah kamu tidak merasa cemburu? Salah seorang daripada kamu membiarkan isterinya keluar di kalangan para lelaki ajnabi. Dia melihat kepada mereka dan mereka dapat melihat kepadanya." (Hukum Wanita Bermusafir, Syeikh Nuruddin Merbu Banjar al-Makki)

Firman Allah SWT: “Katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman agar menundukkan pandangan mereka...”(QS An-Nur: 31)

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu seluruhnya akan ditanyakan - perihal perbuatannya masing-masing." (QS Al-lsra': 36)

Rasulullah SAW bersabda: "Aku tidak meninggalkan sesudahku fitnah bagi kaum lelaki lebih berbahaya dari perempuan." (Muttafaqun Alaih)

Dari Ma’al bin Yasir r.a., sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Lebih baik bagimu jika sebuah paku baja ditancapkan ke kepalamu daripada engkau menyentuh wanita yang tidak dihalalkan bagimu."(HR Thabrani & Baihaqi)

Dari Abu Said r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah seseorang lelaki itu melihat kepada auratnya orang lelaki lain, jangan pula seseorang wanita melihat auratnya orang wanita lain. Jangan pula seseorang lelaki itu berkumpul tidur dengan orang lelaki lain dalam satu pakaian dan jangan pula seseorang wanita itu berkumpul tidur dengan orang wanita lain dalam satu pakaian." (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah sekali-kali seseorang lelaki di antara engkau semua itu menyendiri dengan seorang wanita, melainkan haruslah ada mahramnya beserta wanita tadi." (Muttafaqun Alaih)

Ibnu Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya malu dan iman adalah dua bersaudara. Jika salah satunya hilang, maka yang lainnya dengan sendirinya akan hilang." (HR Baihaqi)

***************

Dari Ibnu ‘Abbas r.huma, katanya: Rasulullah SAW bersabda: Ada dua macam kenikmatan yang keduanya itu disia-siakan oleh sebagian besar manusia iaitu kesihatan dan kelapangan waktu. (Riwayat Bukhari)

Jumaat, 15 Oktober 2010

Berubah Menjadi Himar





Dalam terik panas mentari yang memancar menyinari tanah Baitul Haram, seorang ulama zuhud yang bernama Muhammad Abdullah al-Mubarak keluar dari rumahnya untuk menunaikan ibadah haji. Di sana dia leka melihat seorang pemuda yang asyik membaca selawat dalam keadaan ihram. Malah di Padang Arafah dan di Mina pemuda tersebut hanya membasahkan lidahnya dengan selawat ke atas Nabi.

“Hai saudara,” tegur Abdullah kepada pemuda tersebut. “Setiap tempat ada bacaannya tersendiri. Kenapa saudara tidak membanyakkan doa dan solat sedangkan itu yang lebih dituntut? Saya lihat saudara asyik membaca selawat saja.”

“Saya ada alasan tersendiri,” jawab pemuda itu. “Saya meninggalkan Khurasan, tanahair saya untuk menunaikan haji bersama ayah saya. Apabila kami sampai di Kufah, tiba-tiba ayah saya sakit kuat. Dia telah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya sendiri. Dengan kain sarung yang ada, saya tutup mukanya. Malangnya, apabila saya membuka semula kain tersebut, rupa ayah saya telah bertukar menjadi himar. Saya malu. Bagaimana saya mahu memberitahu orang ramai tentang kematian ayah saya sedangkan wajahnya begitu hodoh sekali?


“Saya terduduk di sisi mayat ayah saya dalam keadaan kebingungan. Akhirnya saya tertidur dan bermimpi. Dalam mimpi itu saya melihat seorang pemuda yang tampan dan baik akhlaknya. Pemuda itu memakai tutup muka. Dia lantas membuka penutup mukanya apabila melihat saya dan berkata, “Mengapa kamu susah hati dengan apa yang telah berlaku?”

“Maka saya menjawab, “Bagaimana saya tidak susah hati sedangkan dialah orang yang paling saya sayangi?”

“Pemuda itu pun mendekati ayah saya dan mengusap wajahnya sehingga ayah saya berubah wajahnya menjadi seperti sediakala. Saya segera mendekati ayah dan melihat ada cahaya dari wajahnya seperti bulan yang baru terbit pada malam bulan purnama.

“Engkau siapa?” tanya saya kepada pemuda yang baik hati itu.

“Saya yang terpilih (Muhammad).”

“Saya lantas memegang jarinya dan berkata, “Wahai tuan, beritahulah saya, mengapa peristiwa ini boleh berlaku?”

Rahsia selawat 100 kali

“Sebenarnya ayahmu seorang pemakan harta riba. Allah telah menetapkan agar orang yang memakan harta riba akan ditukar wajahnya menjadi himar di dunia dan di akhirat. Allah telah menjatuhkan hukuman itu di dunia dan tidak di akhirat.

“Semasa hayatnya juga ayahmu seorang yang istiqamah mengamalkan selawat sebanyak seratus kali sebelum tidur. Maka ketika semua amalan umatku ditontonkan, malaikat telah memberi tahu keadaan ayahmu kepadaku. Aku telah memohon kepada Allah agar Dia mengizinkan aku memberi syafaat kepada ayahmu. Dan inilah aku datang untuk memulihkan semula keadaan ayahmu.”


Wassalam...


*******************

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah dia mengatakan kebaikan atau diam. (HR Bukhari)

Ahad, 3 Oktober 2010

5 Kalimah Kebahagiaan





1. Selalu mengucapkan kalimah tayyibah iaitu 'La Ilaha Illallah Muhammadar Rasulullah'. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atasnya, maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli Syurga, tetap kekal mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan." (QS Al-Ahqaf:13~14)

Sabda Rasulullah SAW: “Banyakkanlah berzikir kepada Allah pada setiap perkara kerana tidak ada amal yang paling dicintai oleh Allah dan tidak ada yang menyelamatkan seorang hamba daripada keburukan di dunia dan akhirat melainkan berzikir kepada Allah.”

2. Apabila ditimpa sesuatu musibah atau melihat kematian, ucapkanlah 'Innalillahi wa inna ilaihi rojiun'. Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah memperbanyakkan perkataan melainkan zikir kepada Allah. Sesungguhnya banyak ucapan yang bukan zikir kepada Allah menjadikan hati keras. Orang yang paling jauh daripada Allah ialah orang yang mempunyai hati yang keras.” (HR At-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah SAW: “Apakah tiada aku tunjukkan kepadamu kunci untuk membuka pintu daripada pintu-pintu syurga?” Kata sahabat: “Apakah kunci untuk pintu syurga itu?” Jawab Rasulullah SAW: “Dengan sentiasa menyebut “Lahaula-wala quwwata-illa billahil ‘aliyi-azim.” Zikir ini bermaksud 'Tiada daya, tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah'. Apabila zikir ini selalu disebut-sebut, insyaAllah seseorang itu akan diberi ketenangan dalam menerima ujian dan keredhaan daripada Allah SWT.

3. Apabila dikurniakan nikmat, maka ucapkanlah 'Alhamdulillah' sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Ucapan yang paling disukai oleh Allah ada empat iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Wa la ilahaillallah, Allahu Akbar.”

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya dunia dan seluruh harta kekayaan yang berada di atasnya diserahkan ke tangan seorang daripada umatku, kemudian orang itu berkata 'Alhamdulillah', maka ucapan 'Alhamdulillah' itu lebih berharga daripada seluruh harta itu. Ini kerana harta dunia akan habis, tetapi ucapan 'Alhamdulillah' itu akan berkekalan selama-lamanya hingga akhirat.”

4. Ucapkanlah 'Bismillahir-rohmanir-rahim' ketika hendak memulakan sesuatu pekerjaan. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa setiap pekerjaan baik yang tidak dimulakan dengan menyebut nama Allah, maka pekerjaan itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: "Bahawa sesuatu perbuatan yang baik tanpa dimulai dengan Bismillah maka ia akan terputus dari rahmat Allah SWT."

5. Ucaplah 'Astaghfirullahal-azim' apabila berbuat dosa. Rasulullah SAW bersabda: “Perlukah aku beritahu kepadamu tentang suatu penyakit dan ubatnya kepada kamu? Sesungguhnya penyakit manusia itu adalah dosa, dan ubatnya adalah istighfar.” Sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan dosa. Sebaik-baiknya segeralah beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membiasakan dirinya membaca istighfar, Allah akan melepaskannya daripada segala macam kesempitan dan terlepas daripada setiap kesusahan dan Allah memberi rezeki kepadanya dengan tidak disangka-sangka.” (HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Mudah-mudahan panduan ini dapat kita diamalkan untuk mendapatkan kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Wallahua'lam.


***************

Dari Aishah r.ha meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang sangat dibenci oleh Allah ialah orang yang suka bertengkar. (HR Muslim)

Sabtu, 7 Ogos 2010

Asal 4 Buah Sungai Di Syurga



Bersabda Rasulullah : "Semasa aku israk dan naik ke langit yang tinggi, malaikat Jibril telah memberi kesempatan kepada aku untuk melihat ke dalam semua Syurga Allah. Aku lihat didalamnya terdapat 4 buah sungai yang besar-besar dan airnya bermacam-macam. Ada air susu, air madu, air arak dan air yang tidak masin".

Aku bertanya kepada Jibril : "Wahai Jibril, dari manakah asalnya sungai-sungai ini dan ke manakah akhirnya? Jibril menjawab “Wahai Rasulullah, aku hanya tahu ia mengalir ke dalam Telaga al-Kausar sahaja dan aku tidak mengetahui dari mana asalnya".

Aku pun memohon petunjuk Allah dan muncullah seorang malaikat dengan memberi salam. Setelah aku menjawab salamnya, dia menyuruh aku memejamkan mataku. Lalu aku memejamkan mata. Apabila aku membuka mata, aku berada dekat sepohon pokok yang besar dibuat daripada permata yang putih berkilauan manakala pintu-pintunya daripada yakut hijau dan kunci-kuncinya daripada emas.

Aku melihat empat batang sungai sedang mengalir dari bawahnya. Aku mahu kembali tetapi ditahan oleh malaikat dengan bertanya, "Tidakkah engkau ingin melihat didalamnya?" Aku pun bertanya "Bagaimana aku dapat masuk sedangkan pintunya berkunci?Dimanakah kuncinya?"

Jawab malaikat itu, "Kunci didalam tanganmu'. Tanyaku lagi "Dimana?". Jawabnya " Cukup engkau membaca Bismillahirahmanirrahim".

Lalu aku pun ucapkan dan pintu terbuka dengan sendirinya dan aku pun masuk ke dalam. Sungguh hebat ciptaan Allah, sungai-sungai itu memancutkan airnya dari empat buah tiang yang besar.

Melihat aku mahu keluar, malaikat bertanya lagi kepadaku "Apakah engkau sudah cukup puas melihat pemandangan ini? Sesungguhnya masih ada yang engkau belum lihat. Cubalah engkau perhatikan sekali lagi dengan baik-baik, dari apakah sungai-sungai itu memancutkan airnya".

Lalu aku pun perhatikan sekali lagi. Aku lihat terdapat kalimah Bismillahirahmanirrahim di antara empat batang tiangnya. Dari huruf mim perkataan Bismillah, keluar air sungai tawar. Dari lubang ha’ perkataan Allah, keluar air sungai susu. Dari lubang huruf mim perkataan ar-rahman, keluar air sungai arak. Dan dari lubang mim dari perkataan ar-rahim, keluar air sungai madu. Dari itu, barang siapa dari umatku membaca Bismillahirahmanirrahim, pasti akan dapat minum air sungai ini di akhirat kelak.

************************
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa memaafkan kesalahan saudaranya yang Islam, Alllah akan mengampuni dosa-dosanya pada hari Kiamat. (HR Ibn Hibban)

Isnin, 2 Ogos 2010

Mimpi 5 Perkara Pelik




Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahwa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat,

pertama; apa yang egkau lihat (hadapi) maka makanlah,

kedua; engkau sembunyikan,

ketiga; engkau terimalah,

keempat; jangan engkau putuskan harapan,

yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.

Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu, mangkuk emas itu keluar semula daripada tempat ia ditanam. Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."

Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku daripada rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan daripada dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalanannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya.

Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa:

1. Engkau makan itu ialah marah.
Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.

5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang).
Maka larilah daripada orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.

Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."

Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.


*************************
Dari Bara’ ibnu ‘Azib r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Riba yang paling buruk adalah mencemarkan seorang saudara (muslim) (supaya merosakkan kehormatannya dengan cara mengumpat, memandang rendah). (HR Tabrani dan Jami-us Saghir)







Sabtu, 24 Julai 2010

Wanita Dan Rama-Rama






Wahai wanita, anda adalah perhiasan. Dunia ini menjadi indah kerana adanya anda yg bernama wanita. Tanpa anda dunia pasti diselubungi sugul. Para lelaki yg mendiami bumi ini akan ketandusan kasih. Dunia pasti tidak menarik untuk didiami. Rasanya dunia akan penuh dengan kekejaman dan perbuatan2 ‘sampai hati’ sesama sendiri.

Wahai wanita, anda ibarat rama-rama yang mengindahkan lagi alam. Anda telah menyempurnakan keindahan bunga. Sempurnalah keindahan apabila bunga dikitari sang rama-rama. Namun anda yg bernama wanita, mengapa ramai sekali yang sengaja merosakkan diri di tengah2 kebuasan lelaki.

Memang keinginan untuk berteman fitrah insan, tapi tak usah mangsakan diri anda untuk lelaki yang kurang perasaan. Tamsilkanlah diri anda sebagaimana rama-rama. Keindahan anda mudah terlerai sebagaimana mudahnya rama-rama terlerai daripada keindahannya apabila ia disentuh.

Tatkala rama-rama sudah hilang keindahan, tiada siapa akan pedulikannya lagi. Memang ramai wanita berasa bangga apabila ia digilai ramai lelaki. Tapi wahai wanita, sayap anda yang indah itu pasti luntur sedikit demi sedikit, melekat dijari lelaki tatkala dia menyentuh anda, sebagaimana sayap rama-rama berpindah coraknya kejari anda tatkala anda menyentuh serangga yg kecil itu.
Apakah anda tidak berasa rugi? Apakah anda tidak berasa apa-apa yang hilang?

Jika anda seorang wanita sejati, anda patut berasa rugi sebab ketahuilah, lelaki amat berbangga sekali apabila dia dapat meletakkan tangannya keatas tubuh anda sedangkan dia tahu, dia tidak berhak berbuat begitu. Bezanya lelaki dengan wanita, lelaki tidak kehilangan apa-apa biar berapa ramai wanita yang berada disekelilingnya, tapi anda pasti rugi setiap kali ada tangan2 yg tidak berhak hinggap di tubuh anda.


Hanya dengan sekali sentuh corak rama-rama sudah boleh musnah, kalau dua kali sentuh mungkin seluruh coraknya tiada, kalau tiga kali sentuh tidak mustahil sayap yang asalnya indah itu terkoyak. Jatuhlah sang rama-rama diatas tanah tanpa siapa mempedulikannya lagi.

Lihatlah kehidupan dari sudut yang begini. Agar dengan itu anda dapat memelihara diri daripada menjadi habuan sang lelaki yang hanya ingin mencalitkan noda keatas diri anda. Apa untungnya digilai dan diminati, kemudian berkorban sesuatu apabila ditagih atau diragut dengan kasar, kemudian anda ditinggalkan pergi. Di manakah nilai anda setelah jatuh ke tanah dan kedua-dua belah sayap anda telah tiada.

Wahai wanita, kasihilah diri anda dengan menjadikan diri anda berharga. Nilai anda tentu terletak pada harga diri yg hanya sanggup dibayar oleh seorang lelaki dengan harga kejujuran. Apalah ertinya digilai kalau yang menggilai hanya lelaki yg tidak tahu diri.

Anda sama sekali tidak berharga biarpun tinggi nilainya di mata lelaki yang tahunya melihat anda sebagai ‘alat’. Tapi anda ibarat mutiara dipuncak bukit di mata seorang lelaki yang jujur. Memang sukar sedikit untuk mencari mereka. Biar terlewat, sebab bersikap pemilih daripada tersalah pilih. Lelaki terbaik tidak mudah ditemui di manapmana. Dia satu dalam seribu. Sudah tentu untuk mencarinya payah. Itu lebih baik daripada bertemu insan yang salah, sudahnya hanya mencemarkan hidup anda.

Biar hidup sendiri dan selesa membina pahala daripada hidup berdua tetapi menjadi pencetus dosa ke neraka. Biar hidup seorang dan berenang menuju TUHAN dengan selesa dan bahagia, daripada hidup berdua dan merasakan diri masih menggoda untuk semua.

Biar hidup sendiri dan masih kekal serinya daripada dikelilingi lelaki tetapi telah hilang maruah diri. Biar lambat bertemu jodoh tetapi tinggi peribadi daripada cepat jodohnya tetapi tidak lama ditinggalkan pergi.

Biar menjadi rama-rama dengan sayapnya yang terang dan indah daripada sang kelkatu yang menerjah api. WAHAI WANITA, HARGA DIRI ANDA, ANDA YG MENENTUKAN…

******************************

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa berpegang dengan sunnah-sunnahku ketika dizaman rosaknya ummatku baginya adalah ganjaran syahid (di jalan Allah). (HR Tabrani)

Rabu, 21 Julai 2010

Kita Ibarat Pinggan...






Andaikan tiga orang yang berlainan meminjam sebiji pinggan daripada kita..
Selang beberapa hari, peminjam pertama memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan bersih cantik tanpa sebarang kecacatan.. Kita pun terus menyimpannya di dalam rak pinggan mangkuk seperti keadaan asalnya..

Peminjam kedua pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaannya yang masih kotor, tidak dicuci.. Pinggan tersebut terpaksa kita basuh sehingga bersih sebelum menyimpannya..

Peminjam ketiga pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan pecah.. Tidak boleh dibezakan lagi bentuknya antara pinggan mahupun serpihan kaca.. Tiada nilainya lagi.. Kita tiada pilihan lain selain membuangnya ke dalam tong sampah..

Begitulah jua halnya dgn Allah Taala.. Jika Kita kembali kepadaNya dalam keadaan bersih, elok, tanpa kekotoran dosa, maka Allah SWT akan terus meletakkan Kita di tempat yang baik Dan tempat yang selayaknya bagi Kita.. Iaitu syurga..

Namun jika Kita kembali ke hadratNya dalam keadaan kotor dengan dosa, Allah SWT akan 'basuh' Kita sebersih-bersihnya di dalam api neraka sebelum memasukkan Kita ke dalam syurga..

Tetapi jika Kita kembali kepadaNya dalam keadaan yg rosak imannya, sehingga tidak dapat dibezakan antara iman dengan kufur, maka Allah SWT tidak akan teragak-agak untuk menghumbankan Kita ke dalam neraka jahannam yang hina buat selama-lamanya, ibarat pinggan yg pecah yang tidak bernilai lagi..

Semoga bermanfaat...

Sumber : http://tazkirahs.blogspot.com

*******************

Dari Abu Bakar Siddiq r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan masuk syurga seorang penipu, bakhil dan orang yang mengungkit-ungkit pemberian. (HR Tirmizi)