Memaparkan catatan dengan label Sahabiah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sahabiah. Papar semua catatan

Selasa, 13 Julai 2010

Mata Kasarnya Buta Tapi Mata Hatinya Celik.



Kesabaran seseorang muslim dalam mempertahankan aqidah Islam ketika menghadapi suasana penindasan yang hebat merupakan contoh kesabaran yang agung. Pegangan aqidah yang bertunjangkan tauhid kepada Allah SWT menjadi harta yang tiada ternilai bagi setiap muslim. Ia adalah cahaya yang menyinari hidup insan dan penyelamat dalam mengharungi sengsara kacau-bilau pada hari pembalasan. Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum muslimin dan muslimat dalam mempertahankan pegangan aqidah mereka. Sikap inilah yang membuahkan hasil yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam hinggalah ke hari ini. Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa setiap umat Islam.

Kisah seorang muslimat sejati bernama Zinnirah adalah antara contoh terunggul pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan aqidah yang telah meresap ke dalam lubuk hatinya. Beliau dipilih oleh Allah S.W.T untuk menerima ujian yang cukup getir. Beliau menerima hidayah Allah SWT pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara sembunyi-sembunyi di kalangan rakan karib baginda. Dalam sejarah Islam, golongan yang pertama memeluk Islam inilah yang banyak menerima ujian daripada Allah S.W.T

Zinnirah adalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom. Beliau telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya beliau telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba. Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan seorang yang lemah, tetapi dari segi spiritualnya beliau mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah.

Rasulullah S.A.W memulakan dakwahnya secara sembunyi-sembunyi di kalangan orang-orang tertentu termasuk golongan bawahan. Antara yang menerima cahya keimanan ini ialah Zinnirah. beliau telah menerima dengan sepenuh hati. Pada peringkat awak keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan islam secara sembunyi-sembunyi, takut diketahui tuannya, Umar Al-Khattab. Beliau bersolat, berzikir, membaca Al-Quran, berdoa kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semuanya dilakukan secara berhati-hati.

Penderitaan ke atas Zinnirah ini bermula setelah tuannya Umar Al-Khattab mengetahui keIslamannya. Umar telah dapat menghidu perubahan yang berlaku ke atas diri hambanya itu. Setelah diselidiki, nyatalah bahawa hambanya meninggalkan agama nenek moyang dan menerima ajaran tauhid yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W.

Umar Al-Khattab cukup terkenal dengan sikap memusuhi Rasulullah S.A.W dan agama Islam sebelum keIslamannya. Beliau selalu mencerca Muhammad S.A.W. Beliau mencabar sahabat-sahabat yang telah memeluk Islam dengan sikap berani dan tegasnya itu. Beliau sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup kerana malu dipandang masyarakat. Dengan sifat keberanian inilah yang telah mendorong Rasulullah S.A.W berdoa agar salah seorang daripada dua Umar di Mekah supaya memeluk Islam.

Zinnirah menjadi mangsa awal di atas sikap kebencian Umar Al-Khattab terhadap Islam dan kaum muslimin. Apalagi, teruklah Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Pelbagai seksaan dikenakan terhadap Zinnirah. Pukulan, hentakan, sepak terajang, dijemur di tengah-tengah panas terik adalah rutin kehidupan biasa Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan tenang dan sabar, di samping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah S.W.T.

Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila matanya dicucuk dengan besi panas. Beliau kehilangan kedua-dua matanya dan terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kegelapan. Matanya buta, tetapi hati dan jiwanya penuh dengan cahaya keimanan. Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam kesengsaraan azab dari tuannya.

"Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan." Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah S.W.T di setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh.

Pengorbanan Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan Latta dan Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar dan Allah S.W.T mengizinkan ianya berlaku.

Walaupun diuji dengan pelbagai rupa, keyakinannya kepada Allah S.W.T tidak berubah. Allah S.W.T memberi karamah kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali dengan karamah Allah S.W.T. Dia dapat menikmati semula keindahan ciptaan Allah S.W.T. dengan penuh kesyukuran kepada Allah S.W.T dan imannya semakin tinggi.

Dengan taufiq hidayah Allah S.W.T, Umar r.h akhirnya memeluk Islam jua...


***********************
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Dunia ialah penjara bagi orang-orang mukmin dan syurga bagi orang-orang kafir. (HR Muslim)

Rabu, 23 Jun 2010

Khaulah Binti Tsalabah



Khaulah Binti Tsa’labah (Wanita Yang Aduannya Didengar Allah Dari Langit Ketujuh)

Beliau adalah Khaulah binti Tsa`labah bin Ashram bin Fahar bin Tsa`labah Ghanam bin ‘Auf. Beliau lahir sebagai wanita yang fasih dan pandai. Beliau dinikahi oleh Aus bin Shamit bin Qais, saudara dari Ubadah bin Shamit r.a yang pernah menyertai perang Badar dan perang Uhud dan mengikuti seluruh peperangan yang disertai Rasulullah saw.

Dengan Aus inilah beliau melahirkan anak laki-laki yang bernama Rabi`. Khaulah binti Tsa`labah pada suatu hari mendapatkan suaminya Aus bin Shamit dalam masalah yang membuat Aus marah, lantas Aus berkata, "Bagiku engkau ini seperti punggung ibuku." Kemudian Aus keluar setelah mengatakan kalimat tersebut dan duduk bersama beberapa orang beberapa lama lalu dia masuk dan menginginkan Khaulah. Akan tetapi kesedaran hati dan kehalusan perasaan Khaulah membuatnya menolak hingga jelas hukum Allah s.w.t terhadap kejadian yang baru pertama kali terjadi dalam sejarah Islam. Khaulah berkata, "Tidak…jangan! Demi yang jiwa Khaulah berada di tangan-Nya, engkau tidak boleh menjamahku karana engkau telah mengatakan sesuatu yang telah engkau ucapkankan terhadapku sehingga Allah dan Rasul-Nya lah yang memutuskan hukum tentang peristiwa yang menimpa kita.

Kemudian Khaulah keluar menemui Rasulullah s.a.w, lalu dia duduk di hadapan beliau dan menceritakan peristiwa yang menimpa dirinya dengan suaminya, meminta fatwa dan berdialog dengan Nabi s.w.t tentang perihal tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda, "Kami belum pernah mendapatkan perintah berkenaan urusanmu tersebut… aku tidak melihat melainkan engkau sudah haram baginya.” Wanita mukminah ini mengulangi perkatannya dan menjelaskan kepada Rasulullah s.a.w apa yang akan menimpa dirinya dan anaknya jika dia harus cerai dengan suaminya, namun Rasulullah s.a.w tetap menjawab, "Aku tidak melihat melainkan engkau telah haram baginya".

Sesudah itu wanita mukminah ini senantiasa mengangkat kedua tangannya ke langit sedangkan di hatinya tersimpan kesedihan dan kesusahan. Pada kedua matanya nampak menitiskan air mata dan semacam ada penyesalan, maka beliau menghadap kepada Zat Yang tidak akan rugi siapapun yang berdoa kepada-Nya. Beliau berdo’a, "Ya Allah sesungguhnya aku mengadu kepada-Mu tentang peristiwa yang menimpa diriku". Alangkah bagusnya seorang wanita mukminah semacam Khaulah, beliau berdiri di hadapan Rasulullah s.a.w dan berdialog untuk meminta fatwa, adapun istighatsah dan mengadu tidak ditujukan melainkan untuk Allah Ta`ala. Ini adalah bukti kejernihan iman dan tauhidnya yang telah dipelajari oleh para sahabat kepada Rasulullah s.a.w. Tiada henti-hentinya wanita ini berdoa sehingga suatu ketika Rasulullah s.a.w pingsan sebagaimana biasanya beliau pingsan tatkala menerima wahyu. Kemudian setelah Rasulullah s.a.w sedar, baginda bersabda, "Wahai Khaulah, sungguh Allah telah menurunkan al-Quran tentang dirimu dan suamimu." Kemudian baginda s.a.w membaca firman-Nya (ertinya), "Sesungguhnya Allah telah mendengar perkatan wanita yang mengajukan gugatan kepada kamu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat,"…sehingga firman Allah s.w.t: "dan bagi orang-orang kafir ada siksaan yang pedih."
(Al-Mujadalah:1-4)

Kemudian Rasulullah s.a.w menjelaskan kepada Khaulah tentang kafarah (tebusan) Zhihar. Rasulullah s.a.w perintahkan kepada suami Khaulah untuk memerdekakan seorang budak(hamba). Lantas Khaulah berkata; "Ya Rasulullah dia tidak memiliki seorang budak yang boleh dimerdekakan". "Jika demikian perintahkan kepadanya untuk berpuasa dua bulan berturut-turut". Berkata Khaulah: "Demi Allah dia adalah laki-laki yang tidak kuat untuk berpuasa". Sambung Rasulullah s.a.w lagi, "Perintahkan kepadanya memberi makan dari kurma sebanyak 60 orang miskin". "Demi Allah ya Rasulullah dia tidak memilikinya". Rasulullah s.a.w bersabda "Aku bantu dengan separuhnya". "Aku bantu separuhnya yang lain wahai Rasulullah", jawab Khaulah. Sabda Rasulullah s.a.w, "Engkau benar dan baik maka pergilah dan sedekahkanlah kurma itu sebagai kafarat baginya, kemudian bergaulah dengan anak pamanmu itu secara baik." Maka Khaulah pun melaksanakannya.

Inilah kisah seorang wanita yang mengajukan aduan kepada pemimpin anak Adam a.s yang mengandungi banyak pelajaran di dalamnya dan banyak hal yang menjadikan seorang wanita yang mengangkat kepalanya tinggi-tinggi dengan bangga dan perasaan mulia dan besar perhatian Islam terhadapnya. Ummul mukminin Aisyah r.Anha berkata tentang hal ini, "Segala puji bagi Allah yang Maha luas pendengaran-Nya terhadap semua suara, telah datang seorang wanita yang mengajukan aduan kepada Rasulullah s.a.w, dia berbincang dengan Rasulullah s.a.w sementara aku berada di penjuru rumah dan tidak mendengar apa yang dia katakan, kemudian turunnya firman Allah Azzawajalla yang bermaksud,"Sesungguhnya Allah telah mendengar perkatan wanita yang mengajukan aduan kepada kamu tentang suaminya dan mengadukan (halnya) kepada Allah…"
(Al-Mujadalah: 1)


Inilah wanita mukminah yang dididik oleh Islam yang menghentikan Khalifah Umar bin AlKhatthab r.a yang sedang berucap di khalayak umum tentang perihal mahar bagi kaum wanita. Beliau berkata, "Wahai Umar, aku telah mengenalmu sejak namamu dahulu masih Umair (Umar kecil) tatkala engkau berada di pasar Ukazh engkau mengembala kambing dengan tongkatmu, kemudian berlalulah hari demi hari sehingga memiliki nama Amirul Mukminin, maka bertakwalah kepada Allah perihal rakyatmu, ketahuilah barangsiapa yang takut akan siksa Allah maka yang jauh akan menjadi dekat dengannya dan barangsiapa yang takut mati maka dia akan takut kehilangan dan barangsiapa yang yakin akan adanya hisab maka dia takut terhadap Azab Allah." Saidina Umar Amirul Mukminin hanya berdiri sambil menundukkan kepalanya dan mendengar segala perkataan Khaulah. Al-Jarud al-Abdi yang menyertai Umar bin Khatthab tidak tahan mendengarnya lalu berkata kepada Khaulah, "Engkau telah berbicara banyak kepada Amirul Mukminin wahai wanita!". Umar lalu menegur Al-Jarud Al-Abdi, "Biarkan dia...tahukah kamu siapakah dia? Beliau adalah Khaulah yang Allah mendengarkan perkataannya dari langit yang ketujuh, maka Umar lebih berhak untuk mendengarkan perkataannya." Dalam riwayat lain Umar bin Al-Khatthab berkata, "Demi Allah seandainya beliau tidak menyudahi nasihatnya kepadaku hingga malam hari maka aku tidak akan menyudahinya sehingga beliau selesaikan apa yang dia kehendaki, kecuali jika telah datang waktu solat maka aku akan mengerjakan solat kemudian kembali mendengarkannya sehingga selesai keperluannya."


**********************

Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi. (HR Hakim)