Sabtu, 24 Julai 2010

Wanita Dan Rama-Rama






Wahai wanita, anda adalah perhiasan. Dunia ini menjadi indah kerana adanya anda yg bernama wanita. Tanpa anda dunia pasti diselubungi sugul. Para lelaki yg mendiami bumi ini akan ketandusan kasih. Dunia pasti tidak menarik untuk didiami. Rasanya dunia akan penuh dengan kekejaman dan perbuatan2 ‘sampai hati’ sesama sendiri.

Wahai wanita, anda ibarat rama-rama yang mengindahkan lagi alam. Anda telah menyempurnakan keindahan bunga. Sempurnalah keindahan apabila bunga dikitari sang rama-rama. Namun anda yg bernama wanita, mengapa ramai sekali yang sengaja merosakkan diri di tengah2 kebuasan lelaki.

Memang keinginan untuk berteman fitrah insan, tapi tak usah mangsakan diri anda untuk lelaki yang kurang perasaan. Tamsilkanlah diri anda sebagaimana rama-rama. Keindahan anda mudah terlerai sebagaimana mudahnya rama-rama terlerai daripada keindahannya apabila ia disentuh.

Tatkala rama-rama sudah hilang keindahan, tiada siapa akan pedulikannya lagi. Memang ramai wanita berasa bangga apabila ia digilai ramai lelaki. Tapi wahai wanita, sayap anda yang indah itu pasti luntur sedikit demi sedikit, melekat dijari lelaki tatkala dia menyentuh anda, sebagaimana sayap rama-rama berpindah coraknya kejari anda tatkala anda menyentuh serangga yg kecil itu.
Apakah anda tidak berasa rugi? Apakah anda tidak berasa apa-apa yang hilang?

Jika anda seorang wanita sejati, anda patut berasa rugi sebab ketahuilah, lelaki amat berbangga sekali apabila dia dapat meletakkan tangannya keatas tubuh anda sedangkan dia tahu, dia tidak berhak berbuat begitu. Bezanya lelaki dengan wanita, lelaki tidak kehilangan apa-apa biar berapa ramai wanita yang berada disekelilingnya, tapi anda pasti rugi setiap kali ada tangan2 yg tidak berhak hinggap di tubuh anda.


Hanya dengan sekali sentuh corak rama-rama sudah boleh musnah, kalau dua kali sentuh mungkin seluruh coraknya tiada, kalau tiga kali sentuh tidak mustahil sayap yang asalnya indah itu terkoyak. Jatuhlah sang rama-rama diatas tanah tanpa siapa mempedulikannya lagi.

Lihatlah kehidupan dari sudut yang begini. Agar dengan itu anda dapat memelihara diri daripada menjadi habuan sang lelaki yang hanya ingin mencalitkan noda keatas diri anda. Apa untungnya digilai dan diminati, kemudian berkorban sesuatu apabila ditagih atau diragut dengan kasar, kemudian anda ditinggalkan pergi. Di manakah nilai anda setelah jatuh ke tanah dan kedua-dua belah sayap anda telah tiada.

Wahai wanita, kasihilah diri anda dengan menjadikan diri anda berharga. Nilai anda tentu terletak pada harga diri yg hanya sanggup dibayar oleh seorang lelaki dengan harga kejujuran. Apalah ertinya digilai kalau yang menggilai hanya lelaki yg tidak tahu diri.

Anda sama sekali tidak berharga biarpun tinggi nilainya di mata lelaki yang tahunya melihat anda sebagai ‘alat’. Tapi anda ibarat mutiara dipuncak bukit di mata seorang lelaki yang jujur. Memang sukar sedikit untuk mencari mereka. Biar terlewat, sebab bersikap pemilih daripada tersalah pilih. Lelaki terbaik tidak mudah ditemui di manapmana. Dia satu dalam seribu. Sudah tentu untuk mencarinya payah. Itu lebih baik daripada bertemu insan yang salah, sudahnya hanya mencemarkan hidup anda.

Biar hidup sendiri dan selesa membina pahala daripada hidup berdua tetapi menjadi pencetus dosa ke neraka. Biar hidup seorang dan berenang menuju TUHAN dengan selesa dan bahagia, daripada hidup berdua dan merasakan diri masih menggoda untuk semua.

Biar hidup sendiri dan masih kekal serinya daripada dikelilingi lelaki tetapi telah hilang maruah diri. Biar lambat bertemu jodoh tetapi tinggi peribadi daripada cepat jodohnya tetapi tidak lama ditinggalkan pergi.

Biar menjadi rama-rama dengan sayapnya yang terang dan indah daripada sang kelkatu yang menerjah api. WAHAI WANITA, HARGA DIRI ANDA, ANDA YG MENENTUKAN…

******************************

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa berpegang dengan sunnah-sunnahku ketika dizaman rosaknya ummatku baginya adalah ganjaran syahid (di jalan Allah). (HR Tabrani)

Rabu, 21 Julai 2010

Kita Ibarat Pinggan...






Andaikan tiga orang yang berlainan meminjam sebiji pinggan daripada kita..
Selang beberapa hari, peminjam pertama memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan bersih cantik tanpa sebarang kecacatan.. Kita pun terus menyimpannya di dalam rak pinggan mangkuk seperti keadaan asalnya..

Peminjam kedua pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaannya yang masih kotor, tidak dicuci.. Pinggan tersebut terpaksa kita basuh sehingga bersih sebelum menyimpannya..

Peminjam ketiga pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan pecah.. Tidak boleh dibezakan lagi bentuknya antara pinggan mahupun serpihan kaca.. Tiada nilainya lagi.. Kita tiada pilihan lain selain membuangnya ke dalam tong sampah..

Begitulah jua halnya dgn Allah Taala.. Jika Kita kembali kepadaNya dalam keadaan bersih, elok, tanpa kekotoran dosa, maka Allah SWT akan terus meletakkan Kita di tempat yang baik Dan tempat yang selayaknya bagi Kita.. Iaitu syurga..

Namun jika Kita kembali ke hadratNya dalam keadaan kotor dengan dosa, Allah SWT akan 'basuh' Kita sebersih-bersihnya di dalam api neraka sebelum memasukkan Kita ke dalam syurga..

Tetapi jika Kita kembali kepadaNya dalam keadaan yg rosak imannya, sehingga tidak dapat dibezakan antara iman dengan kufur, maka Allah SWT tidak akan teragak-agak untuk menghumbankan Kita ke dalam neraka jahannam yang hina buat selama-lamanya, ibarat pinggan yg pecah yang tidak bernilai lagi..

Semoga bermanfaat...

Sumber : http://tazkirahs.blogspot.com

*******************

Dari Abu Bakar Siddiq r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan masuk syurga seorang penipu, bakhil dan orang yang mengungkit-ungkit pemberian. (HR Tirmizi)

Selasa, 13 Julai 2010

Mata Kasarnya Buta Tapi Mata Hatinya Celik.



Kesabaran seseorang muslim dalam mempertahankan aqidah Islam ketika menghadapi suasana penindasan yang hebat merupakan contoh kesabaran yang agung. Pegangan aqidah yang bertunjangkan tauhid kepada Allah SWT menjadi harta yang tiada ternilai bagi setiap muslim. Ia adalah cahaya yang menyinari hidup insan dan penyelamat dalam mengharungi sengsara kacau-bilau pada hari pembalasan. Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum muslimin dan muslimat dalam mempertahankan pegangan aqidah mereka. Sikap inilah yang membuahkan hasil yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam hinggalah ke hari ini. Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa setiap umat Islam.

Kisah seorang muslimat sejati bernama Zinnirah adalah antara contoh terunggul pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan aqidah yang telah meresap ke dalam lubuk hatinya. Beliau dipilih oleh Allah S.W.T untuk menerima ujian yang cukup getir. Beliau menerima hidayah Allah SWT pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara sembunyi-sembunyi di kalangan rakan karib baginda. Dalam sejarah Islam, golongan yang pertama memeluk Islam inilah yang banyak menerima ujian daripada Allah S.W.T

Zinnirah adalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom. Beliau telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya beliau telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba. Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan seorang yang lemah, tetapi dari segi spiritualnya beliau mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah.

Rasulullah S.A.W memulakan dakwahnya secara sembunyi-sembunyi di kalangan orang-orang tertentu termasuk golongan bawahan. Antara yang menerima cahya keimanan ini ialah Zinnirah. beliau telah menerima dengan sepenuh hati. Pada peringkat awak keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan islam secara sembunyi-sembunyi, takut diketahui tuannya, Umar Al-Khattab. Beliau bersolat, berzikir, membaca Al-Quran, berdoa kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semuanya dilakukan secara berhati-hati.

Penderitaan ke atas Zinnirah ini bermula setelah tuannya Umar Al-Khattab mengetahui keIslamannya. Umar telah dapat menghidu perubahan yang berlaku ke atas diri hambanya itu. Setelah diselidiki, nyatalah bahawa hambanya meninggalkan agama nenek moyang dan menerima ajaran tauhid yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W.

Umar Al-Khattab cukup terkenal dengan sikap memusuhi Rasulullah S.A.W dan agama Islam sebelum keIslamannya. Beliau selalu mencerca Muhammad S.A.W. Beliau mencabar sahabat-sahabat yang telah memeluk Islam dengan sikap berani dan tegasnya itu. Beliau sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup kerana malu dipandang masyarakat. Dengan sifat keberanian inilah yang telah mendorong Rasulullah S.A.W berdoa agar salah seorang daripada dua Umar di Mekah supaya memeluk Islam.

Zinnirah menjadi mangsa awal di atas sikap kebencian Umar Al-Khattab terhadap Islam dan kaum muslimin. Apalagi, teruklah Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Pelbagai seksaan dikenakan terhadap Zinnirah. Pukulan, hentakan, sepak terajang, dijemur di tengah-tengah panas terik adalah rutin kehidupan biasa Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan tenang dan sabar, di samping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah S.W.T.

Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila matanya dicucuk dengan besi panas. Beliau kehilangan kedua-dua matanya dan terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kegelapan. Matanya buta, tetapi hati dan jiwanya penuh dengan cahaya keimanan. Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam kesengsaraan azab dari tuannya.

"Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan." Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah S.W.T di setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh.

Pengorbanan Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan Latta dan Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar dan Allah S.W.T mengizinkan ianya berlaku.

Walaupun diuji dengan pelbagai rupa, keyakinannya kepada Allah S.W.T tidak berubah. Allah S.W.T memberi karamah kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali dengan karamah Allah S.W.T. Dia dapat menikmati semula keindahan ciptaan Allah S.W.T. dengan penuh kesyukuran kepada Allah S.W.T dan imannya semakin tinggi.

Dengan taufiq hidayah Allah S.W.T, Umar r.h akhirnya memeluk Islam jua...


***********************
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Dunia ialah penjara bagi orang-orang mukmin dan syurga bagi orang-orang kafir. (HR Muslim)

Rabu, 7 Julai 2010






Seorang ahli hikmah ditanya mengenai taubat. Bagaimanakah kita hendak mengetahui taubat kita telah diterima Allah swt atau tidak? Maka jawabnya, ini adalah urusan Allah swt, kita tidak berupaya menentukannya,...tetapi kita boleh melihat pada tanda-tandanya iaitu:

1. Bagi hamba-hamba yang bertaubat itu bila dia merasakan di dalam dirinya masih ada dosa-dosa yang masih belum terhakis.

2. Hatinya lebih tenteram dan suka mendekati orang-orang yang solih daripada mendekati mereka-mereka yang fasik.

3. Bila dia merasakan di dalam dirinya telah hilang perasaan gembira, sebaliknya sentiasa datang perasaan sedih kerana takutkan azab Allah swt.

4. Bila dia melihat pada dirinya yang sentiasa sibuk dengan menunaikan kewajipan terhadap Allah swt sebaliknya sedikit pun dia tidak sibuk meguruskan rezekinya yang telah dijamin oleh Allah swt.

5. Sungguhpun sedikit rezeki yang dia dapat di dunia ini namun ia tetap melihatnya banyak, tetapi walaupun banyak amalan untuk akhirat yang telah dikerjakannya namun ia tetap merasa sedikit.

6. Bila dia melihat pada dirinya yang sentiasa menjaga lidah dan ucapannya, sering bertafakur dan selalu berada di dalam keadaan sedih dan menyesal.

*******************************
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Orang yang paling banyak mendapat manfaat daripada syafaatku pada hari kiamat nanti ialah seorang yang mengucapkan kalimah La ilaha illallah dengan ikhlas di dalam hatinya. (HR Bukhari)