Sudah menjadi satu trend remaja hari ini "Bercinta sebelum kahwin". Walaupun ia satu falsafah yang baru diperkenalkan kepada remaja kita beberapa dekat yang lalu, namun ia cepat menular dan mempengaruhi pemikiran remaja kita. Malah hari ini barangsiapa yang tidak menganut falsafah tersebut dikira sebagai golongan ketinggalan zaman atau dilabel sebagai golongan ortodoks.
Kini kegiatan berkenalan, berkawan dan bercinta antara lelaki dan perempuan merupakan situasi yang amat lumrah ditengah masyarakat. Ia bukan lagi suatu yang memalukan atau yang harus disorok-sorokkan malah seperti satu kelaziman yang telah di terima oleh semua lapisan masyarakat. Jika adapun suara-suara yang mempersoalkannya, kedengaran hanya sayup-sayup dan hilang begitu sahaja.
Para ibu bapa pun sudah tidak berasa janggal dengan keadaan ini walaupun ia jauh berbeza dengan didikan dan adat resam yang mereka lalui sebelumnya. Para ibu bapa seperti sudah tidak ada panduan dan pendirian dalam menentukan arah anak mereka khususnya anak-anak gadis. Ada yang berpendapat, dia sudah besar dan pandailah dia menentukan masa depannya sendiri.
Kini para remaja khususnya yang sudah berkerja, bebas mengatur jadual hidup sendiri. Pada usia ini ibu bapa seolah-olah tiada hak lagi untuk campur tangan dalam urusannya. Dan ketika inilah kesempatan untuk mempraktikkan falsafah "bercinta sebelum kahwin" yang umum mengetahui bukannya dari adat resam, budaya dan ajaran agama kita.
Falsafah "Bercinta sebelum kahwin" ini menjanjikan suatu yang indah di penghujungnya. Kononnya waktu bercinta inilah waktu yang baik untuk mengenali dengan lebih dekat lagi antara satu sama lain. Ketika itulah keduanya dapat mengukur sajauh mana kasih sayang, tanggungjawab dan kejujuran masing-masing. Kononnya apabila kahwin nanti keduanya sudah saling faham-memahami antara satu sama lain dan itulah yang menjamin kebahagiaan serta keharmonian rumahtangga yang dibina.
Tetapi hasil atau kesan daripada trend ini sungguh mengecewakan kita. Berbagai kejadian buruk dan amat memalukan sering terjadi bukan sahaja selepas berkahwin malah sebelum kahwin lagi. Dan para gadislah yang terpaksa menanggung risiko yang tinggi terhadap penyelewengan, penipuan dan kepura-puraan jejaka yang menggunakan kesempatan itu sepenuhnya.
Akibatnya ramai yang kecewa, menderita, sakit jiwa malah ada yang sanggup membuat tindakan-tindakan nekad menamatkan sahaja kehidupan di dunia ini. Meningkatnya kes-kes pengguguran di kelinik-kelinik dalam mahupun luar negari, malah ia menjadi satu 'business' yang mengaut keuntungan besar bagi setengah-setengah kelinik persendirian yang menawarkan khidmat tersebut. Tidak kurang juga kes-kes bayi yang dibuangkan ke dalam tong sampah dan anak-anak haram yang ditinggalkan begitu sahaja oleh 'ibu bapanya' yang tidak bertanggungjawab.
Inilah natijah-natijah yang kita lihat apabila manusia sudah tidak beriman dan membelakangkan hukum-hukum Allah SWT. Manusia yang sanggup mengenepikan syariat semata-mata terpedaya dengan falsafah-falsafah barat yang menipu.
Islam telah menggariskan dengan jelas hukum atau peraturan tentang pergaulan antara lelaki dan perempuan khususnya yang bukan mahram antara keduanya. Islam melarang dan haram hukumnya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Dalil-dalil tentang hukum ini Allah SWT jelaskan secara isyarat dengan firman-firmannya dalam bentuk memberi peringatan kepada orang-orang yang beriman. Di antaranya ialah firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan apabila kamu (lelaki beriman) meminta satu keperluan kepada mereka (isteri-isteri Nabi) maka mintalah dari belakang hijab (atau tabir). Cara yang demikian itu lebih mensucikan hatimu dan hati mereka." (Al-Ahzab: 53)
Ayat ini jelas memberi garis panduan tentang pergaulan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahramnya. Setiap perhubungan atau sebarang urusan yang melibatkan keduanya maka hendaklah diselangi atau dipisahkan oleh tabir. Ertinya Islam melarang keras umatnya berbuat hubungan terus antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya. Maka lebih-lebih lagilah bergaul bebas tanpa batas yang mana kesan sampingannya amat buruk seperti yang dijelaskan sebelumnya.
Walaupun ayat tersebut menyatakan perbuatan itu kepada isteri-isteri Nabi tetapi ahli-ahli tafsir dan para ulama mentafsirkan ayat tersebut juga kepada seluruh wanita Islam. Jika para sahabat dan isteri Nabi yang terkenal kuat iman pun Allah suruh berurusan di balik tabir, apalagi kita umat Islam akhir zaman yang lemah iman ini.
Di alam percintaan macam-macam boleh berlaku. Contoh-contohnya semua orang boleh mengagak kerana begaimanalah baik dan alimnya seekor kucing kalau ikan sudah di depan mata. Orang yang sedang bercinta biasanya sering bertemu, berbual, bersiar-siar dan melakukan berbagai aktiviti yang hanya melibatkan mereka berdua sahaja. Inilah perbuatan-perbuatan yang dikatakan menghampiri kepada zina yang amat dilarang.
Allah tegaskan ini di dalam Al-Quran dengan firman-Nya yang bermaksud : "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang sesat." (Al-Isra' : 32)
Semua aktiviti orang-orang yang bercinta seperti yang disebut tadi adalah merupakan perbuatan-perbuatan menghampiri zina. Dan tidak mustahil akan terjadinya zina sebenar apabila sudah berdua-duaan di taman-taman bunga, di tepi pantai dan di tempat-tempat tersorok yang terlindung daripada pandangan orang. Begitu juga ada yang membawa teman wanita ke rumah dan tinggal berdua malah ada yang menyewa hotel dan tidur sebilik.
Semua ini adalah perbuatan keji yang dikutuk oleh Allah SWT. Dan setiap perlakuan dan perbuatan tersebut menghimpunkan titik dosa pada pelakunya. Dosa-dosa inilah yang memberatkan timbangan kesebelah kejahatan seterusnya menyebabkan pelakunya dihumban ke dalam neraka untuk menerima balasan azab yang sangat ngeri. Nauzubillah...
Pada ayat yang lain Allah SWT bukan sahaja melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram malah memandangnya pun turut dilarang. Ini jelas dalam firman-Nya yang bermaksud : "Katakanlah (ya Muhammad) kepada lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangan (dari memandang perempuan) dan memelihara kemaluannya." (An-Nur : 30)
Begitu jaga firman-Nya yang bermaksud : "Katakanlah (ya Muhammad) kepada perempuan-perempuan mukmin (yang beriman), Hendaklah mereka menahan pandangannya (daripada lelaki) dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya." (An-Nur : 31)
Kita tentu tahu bahawa matalah yang memainkan peranan besar yang membawa kepada kerosakan antara lelaki dan perempuan. Matalah yang berperanan memperkenal dan menemukan diantara lelaki dan perempuan. Dan dari matalah berpuncanya maksiat dan kerosakan apabila ia memandang kepada aurat yang menimbulkan syahwat. Maka tidak hairanlah mengapa Allah SWT menghendaki lelaki dan perempuan beriman supaya menahan pandangan dan melarang kaum wanita mendedahkan aurat mereka.
Dalil-dalil daripada Rasulullah SAW begitu jelas melarang pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram lebih-lebih lagi berdua-duaan di tempat sunyi. Larangan ini jelas dari hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : "Jauhilah oleh kamu bersunyi-sunyi dengan perempuan. Demi Allah tidak bersunyian seorang lelaki dengan seorang perempuan melainkan masuklah syaitan di antara keduanya. Dan bahawa sentuhan seorang lelaki dengan babi yang berkubang dengan tanah (lumpur), lebih baik baginya daripada bersentuhan bahu (kulit) dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya." (Riwayat Thabrani)
Bagaimana seseorang itu dapat menjamin dirinya tidak melakukan sesuatu yang sumbang jika dalam berdua-duaan itu terdapat satu dorongan dari pihak yang ketiga iaitu syaitan. Di dalam al- Quran Allah SWT menjelaskan siapakah itu syaitan dengan firmannya yang bermaksud : "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuhmu yang nyata" (Az-Zukhruf : 2)
Sejak dihalau keluar dari syurga, syaitan telah bersumpah dan memohon kepada Allah SWT untuk menyesatkan manusia. Syaitan juga telah berjanji akan mencuba sedaya upaya mengheret manusia ke dalam neraka kerana di sebabkan manusia kaum kerabatnya dihalau keluar dari syurga.
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud : Jauhilah oleh kamu akan zina kerana kecelakaannya 4 macam : Hilang kebagusan pada mukanya, disempitkan rezekinya, kemurkaan Allah keatasnya dan menyebabkan kekalnya di dalam neraka." (HR Thabrani)
Daripada hadis tersebut jelas menggambarkan akibat atau balasan yang bakal diterima oleh orang yang melakukan zina. Dan kita sedia maklum jalan-jalan yang membawa kepada zina ialah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram terutamanya apabila sudah berdua-duaan di tempat yang sunyi.
Melalui hadis-hadis Rasulullah SAW juga kita dapat mengetahui berbagai seksaan yang bakal diterima olah mereka yang selalu terlibat dengan pergaulan bebas ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Barangsiapa yang berjebat tangan (bersalam) dengan seorang perempuan yang haram baginya, maka kelak di hari akhirat, ia dirantai dengan rantai api neraka."
Dengan hanya bersalam dengan perempuan yang bukan mahram sahaja pun begitu dasyat seksaan yang diterima apatah lagi jika sengaja berpegangan tangan , bersentuhan, berpeluk-pelukan dan sebagainya. Rasulullah SAW pernah menggambarkan seksaan yang ditarima jika seorang lelaki yang mencium perempuan yang bukan mahramnya maka kelak di hari akhirat akan digunting kedua bibirnya dengan gunting api neraka.
Menyedari kecelakaan pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang bukan mahram ini sama ada di dunia lagi lebih-lebih lagi di akhirat,sayugia kita meninggalkannya. Janganlah kita terpedaya dengan falsafah dan pembaharuan yang dibawa dari barat. Tidak semua dari barat itu baik tapi tidak semua dari barat itu tidak berguna. Kita sudah dikurniakan oleh Allah SWT akal fikiran untuk memilih mana yang baik dan mana yang buruk. Di samping itu kita juga sudah di bekalkan satu syariat atau peraturan hidup yang lengkap dan sempurna untuk menjamin kebahagian hidup di dunia dan akhirat.
Masa masih belum terlambat untuk kita memperbetulkan kesilapan diri. Juga masih belum terlambat untuk kita bertaubat memohon kemaafan kerana ketelanjuran masa lalu. Biarlah kita dilabel orang ketinggalan zaman atau ortodoks atau apa sahaja, asalkan kita tetap di atas jalan Allah SWT. Dengan itu insya-Allah hidup kita akan selamat di dunia dan akhirat. Wallahua'lam, semoga kita sama-sama dapat amalkan......