Setiap malam sebelum kita merebahkan diri, sebelum kita melelapkan mata, sebelum diri diulit mimpi, bertafakurlah sebentar dan cuba tanya-tanyakan pada diri, "Apakah sudah meningkat ketaqwaanku pada hari ini?"
"Apakah sudah meningkat kesolehanku pada hari ini?"
Putar dan putar otak fikiran kita. Imbas kembali setiap gerak langkah sepanjang siang tadi. Bandingkan amalan semalam dengan amalan hari ini. Seandainya amalan hari ini makin baik, itu tandanya sudah ada peningkatan taqwa dalam diri. Tidak kiralah sama ada amalan itu berkaitan dangan urusan hablumminallah (hubungan dengan Allah) atau hablumminannas (hubungan dengan manusia).
Bukti ketaqwaan semakin meningkat bukan pada banyaknya kerja yang kita lakukan pada hari itu tetapi kesungguhan kita di dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah SWT.
Jika taqwa kita sudah meningkat, bererti kesolehan kita juga sudah meningkat kerana gabungan iman dan taqwa melayakkan seorang wanita itu bergelar 'solehah'. Namun begitu, sejauh mana kita telah mencapai darjat wanita solehah itu? Sudahkah kita berjaya memilikinya? Oleh itu marilah kita suluhi diri.
Di antara ciri-ciri wanita solehah itu ialah :
1. HATINYA sentiasa terpaut (teringat-ingat) kepada Allah SWT.
Dia merasakan segala ketaatan dan amal ibadahnya itu, bukan daripada dirinya. Sebaliknya itu adalah kurniaan Allah SWT kepadanya. Apabila mendapat nikmat dan kesenangan, dia tidak leka dengannya tetapi hatinya terus terkenang kepada 'yang memberi nikmat itu'
Sehingga dengan itu dia tidak pernah melupakan perintah syukur sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran : "Bersyukurlah kamu kalau betul kamu menyembah-Nya" (Al-Baqarah : 172)
2. APABILA didatangi dengan berbagai ujian tidak kiralah sama ada ujian itu besar ataupun kecik, bagaikan orang yang terkena kejutan elektrik, hatinya terus terkenang-kenang dosa-dosa yang telah dilakukannya.
"Apakah ujian demi ujian yang datang ini untuk menghapuskan dosaku? Atau untuk mendidik diriku agar lebih solehah?"
"Wahai Tuhanku, kalau beginilah hukummu,aku rela menerimanya dari diazab oleh api neraka yang amat pedih. Ampunkanlah dosa hamba-Mu ini ya Allah".
Bila hati telah berkata begitu, tidak timbullah rasa ingin mengadu ke sana ke mari atau mengeluh di atas segala kesusahan.
3. REDHA terhadap setiap ujian yang datang. Dia tidak akan berani menyanggah atau mengkritik Allah SWT. Dia yakin dengan keadilan dan kebijaksanaan Allah SWT di dalam menentukan setiap hal yang berlaku. Atas dasar itu dia menerima setiap rintangan dan halangan itu dengan dada yang lapang.
Malah hati yang sudah cinta pada Allah itu menjadikan setiap ujian yang datang, tidak dirasakan masalah baginya. Hatinya dapat berhibur dengan mehnah yang datang kerana dia tahu itulah tanda kasih sayang dan perhatian Allah SWT kepadanya.
4. SEMAKIN berat ujian yang menimpa diri maka sekencang itulah juga ibadahnya kepada Allah SWT. Dirinya semakin dekat dengan Allah SWT, sembahyang semakin khusyuk dan semakin lazat dia bermunajat kepada Allah SWT. Dalam sepi malam dia bangun bermunajat dengan Tuhan, memohon dibuka tabir keampunan dan kerahmatan. Pada siang harinya dia menyebukkan diri dengan kerja-kerja yang bermanfaat pada diri dan masyrakat sementara segala masalah yang dihadapinya cuba dilupa-lupakan.
5. TIDAK sedikit pun melayani kejahatan-kejahatan nafsu dan prasangka buruk terhadap manusia. Kerana dia tahu nafsu dan syaitan tidak pernah berputus asa untuk mengajak kepada kemungkaran. Allah SWT telah mengingatkan kita di dalam firman-Nya : "Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengajak kepada kemungkaran." (Yusuf : 53)
Ketika datang bisikan-bisikan nefsu yang meruntun dirinya supaya berbuat jahat seperti hasad dengki dengan jiran tetangga, berburuk sangka terhadap kawan, bermasam muka terhadap suami dan sebagainya, cepat-cepat ditepis bisikan menipu itu.
Dia tahu, sekali dirinya berbuat dosa, akan bertapaklah bintik-bintik hitam di hati, menyebabkan hati makin keras bak batu sungai yang sukar dipecahkan. Rasulullah SAW pernah bersabda :
"Bila seorang hamba berbuat dosa terjadilah satu bintik hitam di hatinya dan kalau bertambah dosanya maka bertambahlah bintik hitam itu."
6.TIDAK pernah terfikir atau merancang untuk menyakiti hati orang lain lebih-lebih lagi suami, ibu atau ayahnya sekalipun dirinya disakiti. Contohnya, sekembalinya suami ke rumah, tiba-tiba dirinya dijadikan sasaran untuk melepaskan geram. Meskipun dia tahu itu bukan salahnya,tetapi sebagai isteri yang solehah sedikit pun tidak dikesali perbuatan suaminya itu. Sebaliknya menyesali dari yang masih lagi belum solehah kerana dirasakan dirinya gagal untuk memberi kebahagian kepada suaminya itu.
7. PATUH terhadap arahan pemimpin dan suka menunaikan permintaan daripada sesiapa jua, tanpa banyak soal. Walaupun arahan atau hajat orang lain itu menyebabkan dirinya terpaksa berkorban dan hidup manderita. (susah nak buat tu...)
8. BUKANLAH kehidupannya untuk mencari pangkat dan nama kerana dia tahu di atas dua tiket inilah membawa manusia rakus dengan dunia sehingga sanggup berbuat apa saja untuk mencapainya. Sebaliknya, dia menjadikan seluruh kehidupannya untuk mencari keredhaan Allah SWT semata-mata.
Kesimpulannya masih terlalu banyak peribadi-peribadi wanita solehah yang belum kita cungkil tetapi kiranya kelapan-lapan sifat ini dapat kita rintis dengan baik, insya-Allah kita akan memiliki hati yang tenang. Hanya orang yang membawa hati yang tenang dan sejahtera sahaja akan selamat menemui Allah SWT di akhirat kelak. Berdoalah selalu moga kita diberi cahaya keimanan, cahaya bagi setiap cahaya yang tiada tolak bandingnya yang bakal memberikan laluan lurus untuk selamat menuju kepada Tuhan yang Maha Agung. Wallahua'lam.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan