Asas Islam, makanan yang diambil oleh setiap umatnya bukan sekadar memenuhi keperluan hidup. Bahkan lebih dari itu, iaitu meningkatkan nilai spiritual manusia kepada pencipta-Nya. Lantaran itu, dalam aspek pemilihan makanan, Islam menggariskan beberapa syarat supaya makanan yang menjadi darah daging (pembetukan tubuh manusia), tidak dicemari dengan benda-benda yang haram sebagaimana yang digariskan oleh syarak.
Berbicara mengenai persoalan ini, Nor Kumala Awang dari institut Kefahaman Malaysia (IKIM), ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pandangan Hidup Islam dan Budaya Pemakanan Masa Kini', menjelaskan, perinsip asas pemakanan yang dilandaskan oleh Islam adalah perinsip boleh guna atau harus guna atas setiap benda. Katanya, tiada satu pun dicegah atau diharamkan kecuali apa yang telah diharamkan sama ada melalui ayat al-Quran atau hadis. Hal ini jelas melalui firman Allah SWT, "Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi ini untuk kamu." (Al-Baqarah 29)
Malah dalam ayat 13 surah al-Jathiyat Allah SWT menjelaskan, "Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala apa yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadanya. Sesungguhnya semua itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasan-Nya) bagi kaum yang memikirnya dengan teliti."
Jelas Norkumala, faktor pemakanan berkait langsung dengan setiap amalan kebaikan sebagaimana yang dijelaskan menerusi surah al-Mukminun ayat 51, "Wahai Rasul, makanlah daripada yang baik-baik dan beramallah dengan amalan yang soleh."
Dapat difahami, apabila seseorang menjaga pemakanannya maka dengan mudah amal-amal kebaikan dapat dilakukan. Dengan kata lain, pemakanan yang baik akan diterjemahkan melalui sifat perilaku dan amalan yang ditonjolkan oleh seseoarang.
Pengambilan makanan yang halal turut ditekankan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud, "Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya." (HR al-Baihaqi dan Abu Nuim)
Huraian daripada hadis tersebut menjelaskan, harta-harta yang berkat itu adalah harta yang halal dan baik. Ini kerana sesuatu yang diambil daripada yang tidak halal dan tidak baik, tidak mungkin mampu mendorong seseorang melakukan kebaikan sama ada pada diri sendiri mahupun orang lain.
Dalam pada itu, pengertian halal yang harus difahami daripada hadis tersebut, mencakupi aspek-aspek berikut :
a) Halal wujudnya, iaitu apa sahaja yang tidak dilarang oleh agama Islam. Seperti makanan dan minuman yang tidak diharamkan oleh syariat Islam.
b) Halal cara mengambil atau memperolehinya, iaitu cara mengambil atau cara memperoleh yang tidak dilarang oleh syariat Islam seperti harta yang diperolehi daripada pekerjaan yang halal menurut pandangan syariat Islam.
c) Halal kerana tidak bercampur dengan hak milik orang lain, kerana sudah dikeluarkan zakatnya. Jika sebaliknya (haram), jika ia merupakan bahan makanan dan dimakan oleh seseorang maka pengaruhnya sangat buruk terhadap perkembangan rohani dan jasmani seseorang.
Dalam pada itu menurut pendakwah bebas, Wan Akhashah Wan Abdul Hamid, sekalipun faktor-faktor lain turut mempengaruhi tingkah laku seseorang seperti faktor keturunan, persekitaran dan pendidikan, namun Islam amat tegas dalam soal pengambilan pemakanan seseorang. Ini jelas apabila Rasulullah SAW menyatakan, seseorang yang didalam tubuhnya terdiri daripada makanan yang haram, Allah SWT sukar untuk memperkenankan doa-doanya.
Dalam hal ini, amat penting bagi ibu bapa memastikan setiap suapan yang diberikan kepada anak-anak adalah bersumberkan daripada makanan dan minuman yang halal. Jika tidak, maka doa ibu bapa itu juga akan ditolak.
Berbicara soal keberkatan dalam makanan yang diambil, Wan Akashah menukilkan kata-kata Imam Ghazali yang antara lain menceritakan, seorang wali Allah SWT, Suhail pernah berkata, apabila seseorang itu makan makanan yang haram, anggota badannya enggan mengikut fikirannya. Dalam hal ini beliau menjelaskan, walaupun di dalam fikiran seseorang itu mahu melakukan amalan soleh dan kebajikan, namun anggota badan yang dibentuk daripada makanan yang haram, terlalu berat untuk melaksanakannya. "Seseorang itu akan menjadi malas walaupun fikirannya berhajat untuk melakukan amal kebajikan." kata Wan Akashah.
Mengenai kaitan tingkah laku seseorang dengan pengambilan makanan, Wan Akashah turut mengambil contoh di mana suatu ketika Rasulullah SAW melihat seorang kanak-kanak yang agak nakal tingkah lakunya. Maka Rasulullah SAW berkata kepada para sahabat, anak tersebut adalah anak subahat. Tanpa disedari, kata-kata Rasulullah SAW itu turut didengari oleh bapa kepada kanak-kanak itu yang turut berada bersama para sahabat. Si bapa akhirnya pulang ke rumah dan bertanya kepada isterinya apakah yang telah diberikan oleh isterinya kepada anaknya sehingga tingkah lakunya menjadi sedemikian rupa.
Jawab si isteri, dia hanya memberikan apa yang diberi oleh suaminya. Sukar untuk mencari jawapannya, kedua-dua suami isteri itu menunaikan solat hajat memohon petunjuk daripada Allah SWT. Atas kesungguhan mereka untuk mendapatkan jawapan, kedua-duanya bermimpi supaya pergi ke hujung kampung berkenaan. Keesokan harinya, mereka melakukan sebagaimana arahan yang diperolehi daripada mimpi tersebut. Didapati, disebelah tanah miliknya, terdapat sepohon kurma yang buahnya terjuntai di kawasan miliknya. Dan buah kurma itulah yang telah diberikan oleh bapa berkanaan kapada anaknya.
Melalui cerita tersebut, dapat diketahui walaupun pengambilan makanan itu melibatkan perkara-perkara yang syubhah,ia tetap memberi kasan pada tingkah laku seseorang. Secara tidak langsung ia menunjukkan, asas yang paling besar untuk menentukan seseorang itu baik atau sebaliknya adalah melalui pengambilan dan pemberian makanan seseorang. Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab yang besar, khususnya buat ibu bapa untuk memastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak adalah halal.
Lahirnya ulama tersohor, Abdul Kadir al-Jailani adalah kerana keperihatinan kedua ibu bapanya mengenai halal dan haramnya sesuatu perkara khususnya yang berkaitan dengan pemakanan yang hendak diberikan kepada anak-anaknya.
Dalam pada itu, Wan Akashah membawa sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : "Di dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging. Sesungguhnya jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasadnya dan jika busuk daging tersebut, maka busuklah seluruh jasadnya. Daging itu ialah hati."
Maka melalui hadis tersebut, dapat diketahui bahawa tindak tanduk seseorang itu ditentukan oleh kesucian hati. Manakala kesucian hati itu pula bergantung kepada kehalalan makanan dan minuman. Kebaikan dan kesolehan seseorang juga bergantung kepada keelokan dan kesucian hati.Dan kesucian hati itu pula bergantung kepada rezeki yang halal. Oleh itu setiap manusia perlu mengetahui akan kepentingan pengambilan makanan yang halal dalam menjalani kehidupan seharian. Wallahua'lam..........
Dipetik dari : Majalah Al-Islam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan