Isnin, 5 April 2010

Hidayah Taufiq-Tak Semua Milikinya Kecuali...

Dalam hidup,yang penting ialah mendapat hidayah Allah. Berapa banyak hidayah yang boleh di miliki manusia? Para ulama menggariskan hidayah itu mempunyai 5 peringkat. Iaitu:

1. Hidayah Tabie'
Hidayah tabie atau hidayah semulajadi ini mampu dimiliki oleh setiap orang. contohnya, seorang anak yang lahir ke dunia pandai menangis tanpa diajar. Ia bukan satu kebetulan, tapi inilah yang dikatakan hidayah tabie yang diberikan oleh Allah. Apa perlunya menangis pada seorang anak? Ada beberapa pendapat tentang hal ini jika ditinjau dari pelbagai sudut pandangan. Iaitu:
a. Dari segi perubatan - menangis perlu bagi anak-anak kecil agar paru-parunya dapat berfungsi dengan baik.
b. Dari segi tasawuf - ada nas yang menyatakan bila seorang anak lahir maka syaitan akan memasukkan belalainya ke dalam hati anak itu. Tangisan si anak adalah sebagai protes atau menafikan ajakan syaitan itu.
c. Tangisan sebagai bahasa - anak kecil yang belum boleh bercakap berhubung untuk memenuhi keperluannya melalui tangisan. Contohnya seorang anak kecil akan menangis sewaktu ia lapar, sakit, basah, dahaga dan sewaktu memerlukan sesuatu.. Tangisan seorang anak membolehkan ibunya mengagak apa yang tidak kena pada anaknya itu.
Apa kata kalau seorang anak kecil tidak dibekalkan oleh Allah dengan hidayah tabie ini? Sudah pasti mengikut hukum adat anak itu akan mati. Justeru itu seluruh manusia termasuk kita telah mendapat hidayah bentuk ini.

2. Hidayah Pacaindera
Kegunaan pacaindera seperti mata, telinga, mulut, hidung, tangan dan kaki pada manusia ialah membolehkannya mengecap nikmat hidup. Melalui mata manusia boleh melihat pemandangan, mengenali orang-orang yang disayangi dan melihat berbagai kejadian Allah. Begitu juga dengan pacaindera yang lain, semuanya penting untuk melengkapkan hidup seorang manusia. Memiliki pacaindera ini juga hidayah dari Allah. Hidayah peringkat ini tidak semua orang mendapatnya. Ada segelintir manusia yang tidak memilikinya, contohnya seperti orang buta, pekak,bisu dan lain-lain.

3. Hidayah Akal
Kemampuan pancaindera menilai sesuatu adalah terbatas. Contohnya mata hanya mampu menyaksikan pemandangan gunung-gunung yang cantik. Walhal hakikatnya apa yang di atas gunung itu tidak seindah pandangan mata. Mangkin di situ terdapat binatang buas dan jurang yang membahayakan. Kalau semata-mata menggunakan pancaindera, kita mungkin akan tertipu. Di sinilah pentingnya hidayah akal. Dengan akal manusia dapat membezakan antara yang salah dengan yang benar, yang baik dan yang tidak baik. Hidayah akal ini tergolong dalam hidayah peringkat tinggi. Semakin berkurangan orang yang memilikinya berbanding dengan hidayah jenis pertama dan kedua yang di atas. Apakah tanda seseorang itu memiliki hidayah akal? Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud : "Orang yang paling berakal ialah orang yang ingat mati dan kehidupan selepasnya."
Dalam satu hadis yang lain Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa manusia itu akan beramal mengikut taraf akalnya. Orang yang memiliki akal yang tinggi mampu untuk memikirkan hidup jangka panjang di Akhirat. Justeru itu mendorong dia beramal. Sentiasa bersyukur itu juga adalah sifat yang dimiliki oleh orang yang berakal. Kalau begitu, sedikit sangat orang yang memiliki hidayah bentuk ini. Buktinya, oleh kerana yang mampu bersyukur itu juga orang yang berakal, lihat apa kata Allah dalam firman-Nya yang bermaksud : "Sedikit sekali hamba-Ku yang bersyukur"
Jelaslah bahawa kekuatan akal seseorang itu dibuktikan dengan sejauhmana dia mampu menyelamatkan dirinya daripada api Neraka. Bukannya dengan sebanyak mana dia boleh mengumpul sijil kerana lulus periksa. Kecemerlangan dalam pelajaran atau peperiksaan itu didapati hasil dengan kuatnya daya ingatan, bukannya hasil kuatnya akal. Olah itu belum tentu seseorang yang bertaraf profesor itu sudah memiliki hidayah akal.

4. Hidayah Islam
Untuk menjadi seorang Islam tidak mudah. Buktinya daripada sekian ramai penduduk dunia, tidak sampai 50 peratus pun yang Islam. Ertinya lebih dari separuh penduduk dunia tidak mendapat hidayah untuk menjadi seorang Islam. Orang yang telah bersungguh-sungguh mempelajari malah mampu pula mengajar ilmu islam itu kepada orang lain pun belum tentu mendapat hidayah Islam. Salman Al Farsi salah seorang sahabat, terpaksa menempuh pelbagai kesusahan sebelum beliau boleh menjadi seorang Islam. Begitulah payah untuk mendapat hidayah islam ini yang mana sepatutnya orang yang secara mudah telah diberi oleh Allah hidayah ini mestilah memeliharanya agar ia tidak dicabut kembali.

5. Hidayah Taufiq
Hidayah taufiq ialah keupayaan diri manusia yang diberikan oleh Allah untuk mengawal diri manusia itu daripada melakukan maksiat dan melazimkan taat pada Allah. Inilah bentuk hidayah yang dimiliki oleh hanya segelintir manusia. Menurut Imam Malik, tanda seorang itu ahli Syurga ialah:
a. Mudah melakukan suruhan Allah, walaupun dia tidak berusaha untuk melakukannya.
b. Susah untuk berbuat maksiat walaupun dia ingin untuk melakukannya.
Dan tanda ahli Neraka pula ialah:
a. Susah untuk melakukan kebaikan walaupun dia ingin berbuat baik.
b. Mudah untuk membuat maksiat/kejahatan walaupun dia tidak mahu.

Justeru supaya selamat di Akhirat, kita mestilah memiliki hidayah taufiq. Sesungguhnya kita tidak tahu sama ada kita ini termasuk di dalam golongan orang yang dianugerahkan hidayah bentuk ini atau tidak, namun kita boleh mengusahakannya melalui doa yang bersungguh-sungguh agar kita diberi oleh Allah hidayah taufiq. Amin. Wallahhua'lam....


**********************

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak melihat rupa paras dan harta-harta kamu, Akan tetapi Allah Ta’ala melihat hati kamu dan amalan-amalan kamu. (HR Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan