Isnin, 5 April 2010

Cerpen: Panglima Izzuddin.


Seluruh penduduk kota Anthony gempar dan kelam-kabut. Kedinginan udara sudah tidak terasa lagi. Ada yang memaku pintu dan tingkap rumah, dan ada yang lari di belakang bukit-bukau di belakang kota. Kaum wanitanya pula sebuk mencari anak masing-masing. Kelihatan pemuda-pemuda yang gagah perkasa berdiri di pintu gerbang sambil menghunus pedang.
Catherina dan Josephine yang baru pulang dari memetik buah di kebun menjadi bingung melihat perubahan situasi kota St. Anthony. Dengan di baluti pakaian hitam seorang rahib, mereka berlari anak menuju ke gereja mencari Paderi Patrick. Mereka terserempak dengannya di pintu geraja ketika Paderi Patrick sedang bergegas untuk keluar.
"Father, apa yang telah berlaku? Kelihatan semua orang dalam kecemasan seperti ada mala petaka yang akan menimpa." tanya Catherina.
"Benar, kota St. Anthony akan ditimpa mala petaka. Kubu pertahanan telah roboh dan dalam dua atau tiga hari lagi, tentera islam dari Jaziratul Arab akan datang menawan. Kumpulkan kesemua rahib dan bersembunyilah di atas menara biara. Aku akan pulang setelah selesai menghadiri mesyuarat tergempar di istana."





II


Dengan pandangan yang tunduk ke bumi, Panglima Izzuddin berjalan menuju ketengah kota St. Anthony sambil tangannya mengheret tali kekang kudanya. Laungan takbir sebanyak tiga kali sebagai lambang kemenangan bergema di ruang angkasa yang telah mengalih suasana menjadi sepi. Penduduk kota mengintai-intai dari celah lubang rumah masing-masing untuk melihat Panglima Izzuddin yang sedang rukuk dan sujud sebagai tanda kesyukuran.
Dari menara biara, Catherina memandang Panglima Izzuddin dengan penuh benci dan dendam. Catherina menganggap Panglima Izzuddin seorang yang kejam yang suka menumpahkan darah manusia. Hati Catherina menjadi bertambah benci kepada Panglima Izzuddin apabila melihat gereja-gereja yang dicintainya telah ditukar menjadi tempat ibadat umat Islam. Hanya dua buah gereja sahaja lagi yang mesih dikekalkan, termasuk gereja yang didudukinya sekarang. Azan pula berkumandang setiap hari menggantikan bunyi loceng gereja yang telah berdenting ratusan tahun.
Kemarahan di hati Catherina bertambah menyala-nyala apabila mengetahui ramai penganut setia agama kristian telah memeluk islam dengan sukarela. Catherina menganggap itu semua berlaku dengan tipu daya serta putar belit Panglima Izzuddin semata-mata. Dengan tangan yang erat memegang rantai salib di dada, Catherina bersumpah di hadapan tuhannya Jesus untuk menebus kembali maruah agama kristian.

PEMALU
Setiap kali Catherina berusaha untuk bersemuka dengan Panglima Izzuddin untuk berterus terang, setiap kali itu juga dia gagal. Panglima Izzuddin sangat membatasi pergaulan di antara lelaki dan wanita, dan dia adalah seorang pemuda yang sangat pemalu.
Pada suatu hari, sedang Panglima Izzuddin meninjau ke seluruh kota, mereka telah terserempak di pintu gereja. Catherina tidak melepaskan peluang tersebut.
"Tunggu! Aku mahu bicara dengan kamu, wahai manusia yang kejam."
"Silakan." Jawab Panglima Izzuddin tanpa sedikitpun memperlihatkan riak marah di wajahnya. Tanpa sedikitpan memandang wajah gadis Eropah yang sedang merkah bak bunga ros merah itu, Panglima Izzuddin telah bersedia untuk mendengar suara hati Catherina.
"Tidak ada satu kebaikan pun yang aku lihat pada agamamu melainkan ia ditegakkan di atas aliran darah manusia."
Dengan tenang, Panglima Izzuddin menjawab, "Islam adalah agama yang menyuruh penganutnya menyambah Allah yang Esa tanpa ada sesuatu pun yang menyengutuinya. Bukan agama yang menyuruh penganutnya menyembah tuhan yang beranak, dan tuhan yang satu di dalam tiga dan tiga di dalam satu. Islam bukan agama yang menggalakkan penganutnya berperang, tapi mereka akan menyerang apabila diserang. Firman Allah : "Telah di izinkan berperang bagi orang-orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai."
"Islam adalah agama yang membawa keadilan dan kedamaian kerana sebelum Islam menyerang kerana diserang, maka terlebih dahulu musuh-musuh Islam akan ditawarkan memilih satu daripada tiga syarat. Pertama, memeluk Islam. Kedua, membayar jizyah. Dan ketiga, berperang. Islam juga melarang berlaku kejam pada negeri yang ditawan. Dilarang memotong pohon-pohon, dilarang membunuh lelaki-lelaki yang tidak berdaya, kaum wanita yang lemah dan kanak-kanak kecil. Dan dilarang mengganggu tempat-tempat ibadah. Sebagai bukti, kami tidak mengganggu peribadatan kamu serta sahabat-sahabatmu di gereja ini."
Kata-kata tersebut menyebabkan segala hujah yang di susun untuk menentang Panglima Izzuddin hilang lenyap. Kegentaran hati pula telah menghilangkan kelancaran lidah Catherina untuk menyusun kata. Dengan terketar-ketar Catherina bersuara juga.
"Tapi... agamamu menghina Jesus yang sangat kami cintai. Ini satu perkara yang tidak patut berlaku."
Dalam nada yang memujuk Panglima Izzuddin menjawab, "Islam tidak sesekali menghina Nabi Isa. Malah jatuh kufur bagi penganut agama Islam yang tidak beriman dengan Nabi Isa. Tapi bukan sampai meletakkan Nabi Isa sebagai Tuhan kerana Nabi Isa hanya seorang makhluk yang ditugaskan untuk menyampaikan risalah Allah."
Catherina terpaku mendengar jawapan tersebut, dan Panglima Izzuddin pun melangkah dengan perlahan berlalu dari situ.



III

Sebentar tadi, Catherina telah mendengar tentang perancangan Paderi Patrick untuk membunuh panglima Izzuddin dengan mengupah seorang abdi bernama Lahab. Catherina mendapat tahu dengan melekapkan telinganya di pintu bilik bacaan Paderi Patrick kerana sebelum itu dia ternampak lintasan orang asing masuk ke situ. Diam-diam Catherina menyiapkan diri untuk pergi menyaksikan pembunuhan yang mereka rancang.
Di tengah malam yang gelap pekat, dengan menyusup serta berlindung secara berhati-hati dari bangunan ke bangunan dan dari pokok ke pokok, Catherina dapat menjejaki setiap langkah Lahab sehinggalah sampai ke kawasan perkhemahan tentera-tentera Islam. Dari cahaya unggun api yang berada di tengah perkhemahan, Catherina dapat melihat Lahab memasuki sebuah khemah. Pasti itu khemah Panglima Izzuddin.

RIUH RENDAH
Lima minit kemudian, suasana perkhemahan tentera-tentera islam menjadi riuh rendah apabila Panglima Izzuddin keluar sambil memintal tangan Lahab ke belakang. Secara automatik, seluruh anggota Catherina menggigil walaupun kedudukannya amat tersembunyi daripada pandangan manusia. Catherina dapat mendengar dengan jelas dailog tentera-tentera Islam dengan Lahab.
"Mengapa kamu hendak membunuh Panglima Izzuddin?"
Lahab hanya membatukan diri walaupun seluruh anggotanya menggeletar.
"Kalau kamu tidak mahu beritahu, kami akan pancung lehermu!"
Secara spontan Lahab menjawab, "Jangan, jangan bunuh aku. Aku tidak mahu mati lagi. Paderi Patrick yang telah mengupah aku untuk membunuh Panglima Izzuddin. Aku melakukannya kerana aku memerlukan wang untuk hidup."
Jantung Catherina bergerak kencang apabila nama Paderi Patrick disebut dan rasa bimbang terhadap keselamatannya mula menyelinap. Catherina sudah bersiap sedia untuk kembali segera ke gereja memberitahu Paderi Patrick supaya dia dapat menyembunyikan diri sebelum tentera-tentera Islam datang menuntut bela.
Tiba-tiba suara Panglima Izzuddin mencelah di celah suasana yang begitu kritis, "Aku maafkan kesalahanmu dengan syarat engkau pulangkan wang yang hina itu. Dan sampaikan salam persahabatanku kepada Paderi Patrick."
Lahab mengangguk-angguk dalam ketakutan dan terus memecut lari sebaik sahaja dilepaskan. Dengan jantung yang masih bergerak kencang, anggota badan yang menggigil serta peluh yang memercik, Catherina menggagahkan kaki pulang ke gereja.



IV

Sudah hampir tiga minggu Paderi Patrick terlantar sakit. Semakin hari semakin tenat, dan semakin diubat semakin teruk. Sejak satu minggu kebelakangan ini, Paderi Patrick langsung tidak berdaya membuka kelopak mata, dan tidak ada satu makanan pun yang masuk ke dalam perutnya melainkan titisan-titisan air. Untuk mendengar suaranya jauh sekali melainkan bunyi mengerang sakit. Pada Catherina, Paderi Patrick bukan sekadar paderi yang mendidiknya menjadi seorang rahib, tetapi juga seorang ayah yang telah mendidiknya semenjak kecil.

MASIH BAYI
Catherina tidak mengetahui siapa ibu bapanya kerana menurut Paderi Patrick, dia telah di jumpai di hadapan pintu gereja ketika masih bayi. Cuma dijumpai secebis kertas kecil di dalam bedungan kainnya yang bertulis, "Kami iba bapa bayi ini menyerahkannya di dalam pemeliharaan Tuhan."
Semua tabib dan pedari handalan yang berada di kota St. Anthony sudah di panggil mengubati Paderi Patrick tetapi hasilnya sia-sia sahaja. Dalam keadaan Catherina dilanda gundah-gulana dengan air mata yang tidak putus-putus mengalir, tiba-tiba Panglima Izzuddin masuk bersama dua orang sahabatnya yang di bawa oleh Josephine. Catherina sungguh terkejut lalu bangun berdiri sambil berkata,
"Tujuan apa kamu semua datang ke sini? Apakah kamu mahu membalas dendam pada seorang yang sudah tidak mampu melawan?"
Dengan lembut Panglima Izzuddin menjawab, "Kami datang bukan untuk membalas dendam tetapi kami datang untuk mengubati Paderi Patrick dengan izin Allah swt."
Catherina tidak terdaya untuk menghalang Panglima Izzuddin kerana dia sendiri sudah mati akal untuk mencari ubat bagi mengubati Paderi Patrick.
Panglima Izzuddin meminta segelas air sejuk, lalu di baca ayat-ayat Allah dengan hati yang sungguh mengharap sambil berdoa dalam suara bisikan halus, "Ya Allah, sembuhlah hambamu ini dan berilah petunjuk ke atas mereka semua." Lalu air tersebut di sapukan ke seluruh muka Paderi Patrick dengan lembut , dan dititiskan ke dalam mulutnya. Dengan izin Allah beberapa minit kemudian anggota badan Pederi Patrick mula bergerak sedikit demi sedikit, dan suaranya mula keluar dalam nada yang amat perlahan serta tersangkut-sangkut meminta makanan.



V

Hari berganti hari, Catherina mula merasa perubahan pada dirinya. Terasa seakan-akan sesuatu kekosongan dan merindui sesuatu. Tetapi setiap kali Catherina dapat menatap wajah Panglima Izzuddin meskipun hanya dari menara biara, segala kekosongan itu terasa terisi dan segala kerinduan rasa terubat. Setiap kali azan berkumandang, setaip kali itu jugalah Catherina akan berdiri di tingkap menara biara untuk melihat Panglima Izzudin mendirikan solat di tengah kota St. Anthony. Pandangan tersebut cukup membahagiakan hatinya. Lebih bahagia daripada berlutut di hadapan patung Jesus yang tersalib di palang kayu ataupun membaca kitab Injil.

AL-QURAN
Catherina sendiri hairan dengan perubahan dirinya. Hati dan fikirannya akan menjadi segar apabila mendengar ayat-ayat Quran yang di baca olah Panglima Izzuddin ketika mendirikan solat, tetapi hati dan fikirannya akan cepat letih serta jemu apabila Paderi Patrick membaca kitab Injil. Dengan menungan yang jauh Catherina menyoal dirinya, "Adakah ini tanda panggilan dari Allah untuk aku menjadi penganut agama Islam?"
Di suatu petang sedang Catherina sebuk mengelap lantai biara, Josephine masuk dalam keadaan tergopoh-gapah.
"Catherina, ada berita penting! Tentera-tentera Islam akan berangkat malam ini menuju ke Eropah Tengah kerana penganut-penganut agama Islam di sana sedang di perlakukan dengan kejam."
Bagai kilat Catherina bertanya,"Apakah Panglima Izzuddin turut serta?"
"Sudah pasti, masakan badan boleh bergerak tanpa kepala." Jawapan Josephine memecahkan kekuatan hati Catherina hingga tubuhnya menjadi lemah longlai.
Malam hampir menjelang dan sebentar lagi tentera-tentera Islam yang di kepalai oleh Panglima Izzuddin akan berangkat meninggalkan kota St. Anthony. Entah mengapa, sejak mengetahui perkhabaran tersebut, Catherina tidak senang duduk dan tidak senang berdiri. Semua yang dibuat tidak kena dan segala perbuatan menampakkan kegelisahan di hati.
Ternyata, Catherina sudah jatuh hati pada pemuda yang beragam Islam itu. Tapi..bagaimana untuk menyatakan perasaan hatinya,kerana Panglima Izzuddin seorang panglima yang pemalu dan dirinya juga seorang gadis yang pemalu. Setalah di timbang masak-masak, Catherina mengambil keputusan untuk berterus-terang kerana dia tidak senggup untuk menanggung perasaan batin yang berat ini walaupun untuk memecahkan perasaan malunya juga satu pekerjaan yang berat. Dengan tekad yang bulat, Catherina pun melangkahkan kakinya...
Dengan nafas yang tercungap-cungap, Catherina berusaha secepat mungkin mendaki bukit tempat Panglima Izuddin di katakan sedang bermunajat. Seringkali dia terjelepuk jatuh namun kesakitan langsung tidak di rasainya. Di bawah sinar bulan yang sedang mengambang, bayang-bayang tubuh Panglima Izzuddin mula kelihatan. Langkah Catherina terhenti dan dia terpegun mendengar suara Panglima Izzuddin sayup-sayup dengan nada yang mendayu-dayu merintih memohon ampun kepada Allah, "Tuhanku, aku tidak layak untuk masuk Syurga Firdaus-Mu tapi aku tidak sanggup menanggung seksa Neraka-Mu. Dari itu kurniakanlah keampunan kepadaku, ampunkanlah dosa-dosaku. Sesungguhnya Engkaulah pengampun segala dosa-dosa besar."

MULIA AKHLAK
Air mata Catherina menitik setitik demi setitik, dan hatinya mula tersentuh dan merasai keesaan Allah. Pemuda yang begini mulia akhlaknya masih merendah diri memohon keampunan daripada Tuhannya, maka tentulah agama yang dianutinya adalah agama yang mulia. Tanpa diatur, Catherina duduk bersimpuh tidak jauh dari tempat Panglima Izzuddin bermunajat. Catherina berbisik, "Wahai Tuhan yang menjadi Tuhan kepada pemuda yang berada di hadapanku dan Tuhan bagi sekalian makhluk, barilah petunjuk kepadaku seperti petunjuk yang Engkau telah kurniakan kepada pemuda ini."
Tanpa di sedari, Catherina menangis teresak-esak sehingga sampai kependengaran Panglima Izzuddin
Panglima Izzuddin agak terkejut apabila mendapati Catherina berada tidak jauh di belakangnya. "Untuk apa engkau berada di tempat ini? Bukankah perbuatan ini tidak baik bagi agamaku dan tidak baik juga bagi keyakinanmu?"
Dalam tangisan yang masih tersedu-sedu, Catherina menggagahi lidahnya untuk melisankan segala isi hatinya, "Izzuddin, aku tidak dapat lagi menyorok segala perasaan hatiku padamu, kerana sebentar lagi engkau akan berangkat pergi yang kepulanganmu ke sini masih belum pasti lagi. Ketahuilah, sejak engkau mula masuk ke kota ini, fikiranku tidak habis-habis memikirkan tentang dirimu walaupun pada mulanya difikir dengan perasaan benci. Tapi rasa benci itu beralih pada rasa cinta apabila engkau datang mengubati Paderi Patrick walaupan engkau tahu akan kejahatannya. Dari detik itu hatiku telah terpaut kepadamu dan kepada agamamu. Aku rela meninggalkan kehidupanku sebagai seorang rahib dan menghadapi segala percubaan hidup demi cintaku kepadamu dan kepada agamamu."
Hati Catherina terasa lega apabila segala perasaan yang terbuku di hati dapat diluahkan meskipun dia terasa amat malu dengan sikap tersebut.

TERHARU
Dengan pandangan yang lepas jauh ke bukit-bukau, Panglima Izzuddin menutur kata-kata sepatah demi sepatah, "Hatiku sungguh terharu apabila mengetahui rahsia hatimu selama ini. Hatiku lebih terharu lagi apabila disampaikan di saat yang sebegini genting. Terlalu susah untuk aku menolak cintamu dan terlalu susah juga untuk aku menerimanya. Sekiranya aku menerima cintamu, itu bermakna aku telah memberi harapan pada hatimu. Dan sekiranya aku menolak, itu bererti aku akan menghancurkan harapanmu. Justeru itu, letaklah sebulat cintamu itu kepada Allah dan pasti Dia akan mengurniakan kebahagian kepada hatimu."

Hati Catherina gelisah dan tidak puas mendengar tutur kata Panglima Izzuddin.


"Apakah kamu juga mahu menjadi seorang rahib?"


"Tidak sama sekali. Islam memberi pahala yang besar bagi seorang lelaki yang mendirikan rumahtangga. Cuma dalam saat yang sebegini genting, aku tidak dapat menerima cinta dari seorang wanita kerana panggilan jihad dari Tuhan lebih tinggi dari segala-galanya. Insya-Allah sekiranya panjang umur, kita akan berjumpa lagi dan sekiranya aku gugur di medan jihad maka jadikanlah Akhirat sebagai tempat pertemuan kita. Jangan bersedih hati kerena Allah akan memeliharamu."


Dengan perlahan Panglima Izzuddin melangkah menuruni bukit untuk ke medan jihad meskipun hatinya sangat terharu dengan perasaan yang Catherina tanggungi.


Catherina merasa jiwanya dibawa pergi sama, dan hanya jasad kosong sahaja yang berdiri kaku dipukul angin malam yang menderu di atas bukit itu. Catherina kemudian berbisik, "Ya Allah, cukuplah engkau sebagai pemeliharaku seperti harapan kedua ibu bapaku di atas cebisan kertas di dalam bedunganku, dan harapan pemuda kecintaanku."



2 ulasan:

  1. Assalamualaikum saudari..
    Jazakillah ye dtg ziarah blog saya. emm..saya x ada kesempatan nak membaca blog ni lg..

    InsyaAllah, bila dh ada masa terluang, baru blog saudari akan saya singgah kembali..
    Salam ukkhuwah fillah ye :)

    BalasPadam
  2. isk3x terharu sungguh bace cerpen ni..hingga menitis air mata.tapi,....sebenarnye baru bace sikit jerk.hahaha..

    BalasPadam