Isnin, 5 April 2010

Istirahatkan Hati dari Berkata "Kalau..."

"Kita ni dah kerja sungguh-sungguh, tapi masih hidup susah. Orang lain, tak perlu susah payah, tapi hidup senang dan mewah. Kenapa Allah tak jadikan semua orang kaya, semua hidup senang, semua pandai, semua kuat,semua cantik dan semua berjaya? Apakah Allah tidak adil?" keluh Nur pada suaminya.

"Awak tak boleh cakap macam tu. Berdosa awak masuk campur urusan Allah dan mempertikaikan urusan-Nya!"

Walaupun pada zahirnya Nur seorang yang buat taat, namun parkataannya menunjukkan dia ingkar kepada Allah. Hatinya tidak bersedia menghadapi ujian kesusahan daripada Allah dan telah berburuk sangka dengan Allah.Sekiranya tidak bertaubat, ia tetap berdosa besar dan akan dihukum oleh Allah.
Kita sebagai hamba Allah, tidak layak untuk mempertikaikan kejadian dan ketentuan Allah.


Sedangkan mempertikaikan kerja-kerja bos di pejabat pun, kita rasa tidak patut, inikan pula Allah yang Maha Adil, Maha Bijaksana dan Maha Pengatur. Keadilan Allah tidak boleh diukur mengikut akal kita yang terbatas itu. Segala apa yang Allah jadikan adalah daripada keadilan-Nya. Hendaklah kita tanamkan keyakinan ke dalam hati kita bahawa Allah itu Maha Adil terhadap segala makhluk-Nya. Firman Allah : "Allah menentukan perkara yang adil" (Al-Mukminum ; 20)

Kadang-kadang mulut kita mengakui bahawa Allah Maha Adil, tetapi melalui perbuatan, perkataan dan hati, kita menyangkalnya. Melalui perbuatan, kita mengambil tindakan memberontak dan menunjuk perasaan secara halus, hasil tidak puas hati terhadap Allah. Misalnya, lantaran kemiskinan dan kesempitan hidup, kita meninggalkan perintah Allah seperti sembahyang fardhu, menuntut ilmu dan lain-lain. Alasannya kerana sebuk bekerja mencari rezeki. Seolah-olah kita berkata "Sebab Allah jadikan aku miskin, aku tak sempat sembahyang."

Perkataan kita juga adakalanya menunjukkan kita tidak redha dan tidak bersedia untuk menerima ketentuan Allah. Tanda hati kita tidak puas hati dengan keadilan Allah pula ialah hati kita tidak tenang, gelisah, tidak redha dan sentiasa berkeluh-kesah di atas kesusahan yang Allah timpakan.

Adakah adil pada ukuran kita itu diertikan menjadikan semua orang sama atau serupa? Bayangkanlah sekiranya Allah menjadikan semua manusia sama sahaja. Semua miskin, semua bodoh, semua susah, semua buruk, semua kafir dan ingkar. Atau berlaku sebaliknya.

Jika semua kaya, tiadalah lagi orang yang suda menerima sedekah. Tidak adalah pahala sedekah untuk orang kaya. Semua pandai tiadalah orang yang hendak diajar. Kalau semua orang senang tiadalah yang hendak ditolong.Keadaan akan menjadi beku dan kaku, tiada suasana masyarakat yang saling perlu memerlu diantara satu sama lain. Tidak indah dan meriahlah lagi kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

Sebenarnya, ketentuan adanya hidup susah, adalah sebagai ujian untuk kita mendapat pahala sabar dan redha. Ketentuan adanya hidup senang merupakan ujian nikmat supaya kita memperolehi pahala syukur dan memberi peluang untuk berkorban harta kepada perjuangan atau membantu orang susah. Pengorbanan harta kita itu juga akan menjadi saham untuk kesenangan hidup di akhirat yang kekal abadi nanti. Ketentuan adanya pandai dan bodoh, mewujudkan suasana belajar dan mengajar. Kedua-duanya sama ada belajar mahupun mengajar, sama-sama mendapat pahala daripadanya.

Tegasnya setiap yang Allah jadikan ada hikmahnya, ada gunanya dan ada tujuannya.
Itulah bukti kekuasaan dan keadilan Allah. Setiap kejadian diatur-Nya untuk menyempurnakan kehidupan manusia dan kejadian alam. Allah Maha Pemurah, rahmat-Nya melimpah untuk kesemua hamba-Nya tanpa batasan. Orang kafir atau ingkar juga diberi rezeki, kadang-kadang melimpah ruah sehingga mereka bertambah ingkar dan angkuh. Ada pula yang disusahkan sehingga baginya hanya Allah tempat berserah dan mengadu. Itulah tanda Allah hendak mendidiknya agar lebih hampir kepada Allah.

Lagi sekali ditekankan bahawa hendaklah kita yakin Allah itu Maha Adil dalam melebih dan mengurangkan pembarian-Nya kepada seseorang. walaupan akal kita tidak dapat memikirkan hikmah pada ketentuan Allah itu atau tidak nampak keadilannya, tetapi sebagai orang yang sedar dirinya hamba Allah, kita hendaklah redha dengan takdir-Nya. Hendaklah kita takut kepada Allah kerana dalam hadis Qudsi Allah berfirman : "Barangsiapa yang tidak redho dengan takdir-Ku, tidak sabar terhadap cubaan daripada-Ku dan tidak bersyukur terhadap nikmat yang Aku berikan, carilah Tuhan selain dari Aku."

Untuk memujuk hati yang rasa kecewa dengan kegagalan setelah berusaha atau kesusahan yang menimpa, ingatkanlah diri dengan kata-kata ini: "Takdir Allah sudah putus dan putusan Allah sudah terjadi."

Istirahatkanlah hati dari berkata "Barangkali" dan "Kalau". Tiada untungnya kita memperhitung dan mempertikaikan kejadian Allah. Sebagai hamba, terima sahaja apa yang Allah hendak lakukan terhadap kita. Berdoalah kapada Allah agar memberikan kita hati yang redha menerima apa saja ketentuan-Nya. Semoga Allah memberkati dan meredhai kehidupan kita di dunia dan di akhirat.
Wallahua'lam bissawab...

**************

Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa mahu supaya rezekinya ditambah dan umurnya dipanjangkan, hendaklah dia menghubungkan silaturrahmi di antara saudara-saudaranya . (HR Bukhari)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan