Sabtu, 3 April 2010

Getirnya Penderitaan Rahsia Kebahgiaan

ANDA KECEWA??
Menderita penuh sangsara
dan berkesal hampa?
Hanya kerana kesayangan, harapan atau
jerih payah yang ditumpahkan musnah...
hinggakan hancur luluh perasaan, berderai segunung
impian, lalu suram kelamlah masa depan?

Itu petanda anda telah kerugian. Jiwa masih si ingusan, tidak bijak menilai ujian hidup itu sebagai tanda yang besar harganya
di sisi Tuhan. Atau barangkali anda tidak pernah tahu
Rasulullah s.a.w
pernah bersabda;

"Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah padanya
suatu kebaikan, maka diberinya penderitaan..."

Sudah adatnya, untuk memiliki sesuatu yang berharga,
perlu menempuh getir dan derita sebagai bayarannya.
Apalagi ianya mengundang perhatian Allah, hanya penderitaan dan
pengorbananlah sebagai cagaran.

Manusia yang menderita tika diuji adalah
insan yang silap mengukur nilai bahagia.
Sangsaranya lantaran tergugatnya kepentingan
peribadi, bahagianya kerana bersandar nikmat
pada harta benda, pangkat darjat dan kemasyhuran.
Maka, ketahanan jiwa pula dalam menghadapi
cubaan hidup tika ini hanyalah picisan yang
jauh dari layak untuk dibanggakan.

Perbandingkanlah dengan kehebatan jiwa
mukmin lampau yang telah mengambil iman
sebagai kunci kebahagiaan, hinggakan
Masyitah tidak gentar direbus kerana iman,
hinggakan Siti Sumaiyah merasa lazat diazab
kerana iman, Siti Sarah merasa ramai dalam
keseorangan kerana iman, Siti Khadijah
bahagia dalam deritanya kerana iman,
Siti Fatimah kecukupan dalam
kemiskinan jua kerana iman.

Inilah jalan yang pernah ditempuh oleh
para nabi, tabiin dan mereka yang kini
berbahagia di sisi Khaliqnya,sehingga
para sahabat pernah berkata; "Kiranya
Tuhan tidak menguji kami hingga berlalulah
40 hari di atas kami...aduhai,betapa
malang, kiranya Allah telah tidak
mempedulikan kami lagi..." Mereka menangis
dengan derita yang hilang, kerana takut
perhatian dan kecintaan Allah tidakkan
kunjung datang!

Bahkan Rasul kekasih Allah juga pernah
bersabda; "Dukacita itu adalah merupakan
sahabatku, kemiskinan adalah kebanggaanku,
dan... dukacitaku adalah kerana ummatku..."
Baginda berduka lantaran umatnya yang
kini memandang curahan rahmat Allah
ini sebagai kesialan nasib yang
mengundang petaka!

Hati yang tidak pernah dicanai ujian
adalah hati yang mati sebelum mautnya.
Jiwa yang gagal menyambutnya dengan
keredhaan adalah jiwa yang dibunuh rasa
perhambaannya. Menangisi deritanya
ujian Allah adalah kebodohan, mempersoalkannya
adalah wajar disebut kebiadapan. Kiranya
Rasulullah s.a.w pernah bersabda;
"Tiada seorang muslim yang menderita
keletihan, penyakit atau kerisauan hati
sekalipun gangguan yang berupa hanya
tusukan duri, melainkan semua itu akan
menebus dosanya..."

Enggan diuji ibarat orang yang ingin
memiliki berlian tetapi enggan membayar
harganya. Takut diuji, umpama menolak
tuah. Ah, benarlah kiranya madah
seorang sufi; "Banyak orang tidak mahu
pahala percuma, iaitu ujian yang
menimpa.."

Anda tidak akan sangsara andainya anda
tahu bukanlah anda orang yang paling
malang di alam maya ini. Kata orang;
"Hari ini kamu mengeluh kerana tidak
berkasut. Esok kamu akan lihat orang
yang tidak berkaki."

Ibarat bujukan si pujangga sufi tika
dirinya diuji;
Jangan sedih selalu disisih..
bukan kau saja ditimpa malang,
lihatlah para rasul mulia
lebih terseksa, menderita...
Ya, renungilah... anda menderita hanya
kerana mempertahankan
sedikit nikmat yang pasti musnah, mereka
diuji dengan kewajipan menyampaikan
benarnya risalah Allah!

Ya, tanpa ujian, tidak mungkin dapat
dikenal yang mana intan yang mana
kaca. Demikianlah pula insan, yang
mulutnya mengaku beriman. Firman
Allah; "Apakah manusia mengira
bahawa mereka dibiarkan berkata;
"Kami telah beriman", sedang mereka
belum diuji? Dan sesungguhnya kami
telah menguji orang-orang sebelum
mereka dan Allah benar-benar
mengetahui pula orang-orang yang
berdusta."
(Surah An-Kabut ; 2-3)


Apalagi yang mengaku dirinya
pejuang, penegak panji Allah di akhir
zaman; "Kami pasti menguji kamu
hingga nyata dan terbukti yang mana
satu pejuang dan mana yang sabar
di antara kamu."
(Surah Muhammad; 31)


Namun, di bawah himpunan hikmah
yang tersirat di balik pahitnya derita
ini, patut anda renungi maksud-Nya
yang paling tinggi, mengapakah hamba-
hamba-Nya diuji...
"Pergilah kepada hamba-Ku,
dan timpakanlah bermacam-macam
ujian buatnya, sesungguhnya Aku
ingin mendengar suaranya..."

Inilah yang telah dikhabarkan oleh
seorang wiliyullah kepada
seorang abid yang telah 30
tahun bermunajat.
"Sengaja Allah tidak mengabulkan
permintaanmu itu tika ini
kerana sesungguhnya Dia menyintai
rintihan dan rayuanmu..."

Lalu, wajarkah dugaan Allah
yang dititipkan-Nya dengan
sifat Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang ini
di terima dengan keluh
kesal dan rungutan?

Ubahilah pemikiranmu.
Awasilah penerimaan
hatimu tika diuji. Inilah
peringatan-Nya;
"Barangsiapa yang tidak
rela terhadap takdir-Ku,
tidak sabar terhadap
cubaan daripada-Ku dan tidak
bersyukur terhadap nikmat yang
telah Aku kurniakan, maka carilah Tuhan
lain selain Aku."

Renungkanlah...
Sudahkah kita syukuri nikmat-Nya
yang telah kita gunakan tanpa bayaran
sedikitpun dan siapa kita untuk
memprotes ujian-Nya yang sedikit,
mengkhianati tanda rahmat dari Tuhan?


****************

Dari Abdullah bin Umar r.a berkata bahawa Rasulullah SAW memegang bahuku (untuk menarik perhatianku kepada perkara yang penting ini) lalu bersabda: Hiduplah kamu di dunia ini seperti musafir atau sebagai orang yang sedang melintasi jalan. (HR Bukhari)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan